
SOROK MINUMAN KERAS SELUDUP BAWAH TIMBUNAN TEPUNG, GAGAL
- nabalunews
- Nov 25, 2020
- 1 min read

25 NOV 2020
LABUAN: Taktik mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan konsainan minuman keras seludup di bawah timbunan tepung gandum dalam sebuah lori, gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan itu dalam operasi Op Terancang (Op Benteng COVID-19) semalam.
Hasil maklumat, terdapat sebuah lori 10 tan dipercayai membawa muatan minuman keras menaiki feri yang berlepas dari Terminal Feri Labuan pada tengah hari Selasa, sebelum berhenti di jeti Menumbok pada 6.15 petang untuk menghala ke tanah besar Sabah.
Menurut Pemangku Pegawai Pemerintah PPM, Inspektor Shafiq Rezza, pemandu lori berusia 38 tahun itu ditahan dan diserahkan ke balai polis Beaufort untuk siasatan lanjut.
“Pemandu lori itu cuba menipu pegawai penguat kuasa dengan meletakkan tepung gandum dalam karung guni di atas minuman keras jenis Royal Stout dan Guinness Stout, tidak bercukai.
“Semasa disiasat, pemandu itu berkata dia menghala ke Kota Kinabalu tetapi gagal memberi penjelasan yang memuaskan di mana dia menyembunyikan minuman keras itu dan siapa pelanggannya.
Shafiq berkata konsainan minuman keras
seludup termasuk cukai dianggarkan RM13,000.
Turut disita tepung berharga RM50,000 dan sebuah lori jenis Nissan bernilai RM250,000.
Shafiq berkata pemandu lori itu akan didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, kerana gagal mengemukakan dokumen untuk membuktikan sumber konsainan itu. - Bernama















Comments