SOROTAN 2020: DRAMA POLITIK DAN CETUSAN GELOMBANG KETIGA COVID-19 DI SABAHSOROTAN 2020: DRAMA POLITIK DAN CETUSAN GELOMBANG KETIGA COVID-19 DI SABAH
top of page
  • nabalunews

SOROTAN 2020: DRAMA POLITIK DAN CETUSAN GELOMBANG KETIGA COVID-19 DI SABAH


21 DIS 2020


KOTA KINABALU: Drama politik kembali menyelubungi atmosfera ‘Negeri di Bawah Bayu’ dalam kalender 2020 apabila episod perebutan kuasa antara dua ‘gergasi’ politik Sabah iaitu Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dua tahun lalu kembali berkocak.

Segalanya bermula pada 29 Julai apabila bekas ketua menteri Sabah Musa, yang dilepas dan dibebaskan daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di negeri itu, mendakwa mempunyai majoriti mudah melalui sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 65 ADUN termasuk ADUN Dilantik untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Tindakan mengejut Musa itu mendapat reaksi spontan Mohd Shafie yang ketika itu memegang jawatan Ketua Menteri Sabah dengan mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kurang 24 jam selepas Musa membuat dakwaan itu.

Langkah Mohd Shafie yang juga ADUN Senallang dan Ahli Parlimen Semporna itu mendapat bantahan daripada Musa yang berpendapat pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya adalah tidak perlu, membuang masa dan wang serta memudaratkan nyawa rakyat susulan pandemik COVID-19 yang belum reda.

Bagaimanapun, Mohd Shafie mempertahankan keputusannya dan menegaskan beliau ‘sanggup mati’ di gelanggang politik berbanding menyerahkan kuasa kepada pihak yang memperlekehkan mandat rakyat dengan cuba mengganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri.

Rentetan daripada itu, Musa yang merupakan bekas ADUN Sungai Sibuga sejak 1994 bersama 32 ADUN yang menyokongnya membuat permohonan di Mahkamah Kota Kinabalu untuk mendapat kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin yang memberi perkenan membubarkan DUN itu.

Namun, Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menolak permohonan itu pada 21 Ogos selepas mendapati Mohd Shafie bertindak dalam ruang lingkup Perlembagaan Sabah semasa memohon kepada Juhar untuk membubarkan DUN.

Meskipun pertikaian di mahkamah berkenaan keputusan pembubaran DUN belum selesai, namun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan proses untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dengan menetapkan 26 Sept sebagai hari pengundian, selain mengumumkan sejumlah 73 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan, termasuk 13 kerusi baharu, berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14.


Dalam PRN itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkumi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah mencipta sejarah apabila berjaya meraih mandat rakyat dengan memenangi 38 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN sekali gus menumbangkan Warisan Plus untuk menerajui kerajaan negeri baharu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi PN Sabah Datuk Hajiji Noor, yang mengekalkan kerusi DUN Sulaman sejak 1990, dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 selepas mendapat persetujuan daripada semua kepimpinan parti gabungan dalam GRS sekali gus menjadi ‘wisel’ penamat bagi segala pergolakan politik melanda negeri itu.

Bagaimanapun, kekhuatiran ramai pihak termasuk pakar-pakar kesihatan dan pemimpin-pemimpin politik sendiri mengenai kemungkinan PRN itu akan menjadi pencetus gelombang ketiga penularan COVID-19, menjadi kenyataan apabila kes positif harian virus itu di Sabah merekodkan kes tertinggi di negara ini dengan 1,995 kes pada 1 Okt berbanding cuma 398 kes pada 1 Ogos.

Walaupun SOP ketat dilaksanakan sepanjang PRN, namun bertitik tolak daripada pilihan raya berkenaan, kes harian positif COVID-19 di Sabah terus meningkat dan sehingga 14 Dis jumlah kumulatif kes positif di negeri itu mencecah 33,111 iaitu yang tertinggi di negara ini.

Malah gelombang COVID-19 yang tercetus di Sabah ekoran PRN berkenaan turut merebak ke hampir semua negeri di Semenanjung dengan kes positif dan kluster yang dikesan dikaitkan dengan sejarah perjalanan ke Sabah sepanjang proses PRN Sabah.

Hajiji dan isteri Datin Juliah Salag turut dijangkiti COVID-19 dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, seminggu selepas dia memulakan tugas rasminya sebagai ketua menteri dan mengumumkan peruntukan segera RM50 juta bagi membantu rakyat terjejas pandemik itu.

Khuatir jangkitan COVID-19 akan merebak lebih teruk, kerajaan Persekutuan mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu bermula 13 Okt serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti.

Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi untuk membatalkan dan menunda Pilihan Raya Kecil kawasan parlimen itu yang ditetapkan SPR pada 23 Nov berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt sebagai langkah proaktif membendung penularan COVID-19.

Sebagai respons kepada lonjakan kes positif COVID-19 di Sabah itu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil pelbagai inisiatif bagi menangani krisis itu termasuk melaksanakan program mobilisasi petugas perubatan dan kesihatan dari Semenanjung ke Sabah serta mewujudkan makmal molekular bagi menampung kapasiti ujian saringan COVID-19 yang tinggi.

Tujuh hospital di Sabah juga dioperasikan bagi merawat pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan rapi, membuka hospital medan di Tawau bagi menampung keperluan fasiliti kesihatan di daerah itu dan mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di beberapa daerah di Sabah.

Sementara itu, kerajaan negeri turut meluluskan penambahan peruntukan Bantuan Prihatin COVID-19 sebanyak RM160 juta dan mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi Sabah sebagai langkah utama memulihkan semula ekonomi negeri yang terjejas teruk akibat pandemik itu. - Bernama

bottom of page