Tindakan Segera Akan Diambil- Masidi
- nabalunews
- 6 minutes ago
- 1 min read

10 Januari 2026
RANAU: Tindakan segera perlu diambil termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran air sungai susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai, di sini, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara tindakan yang dilaksanakan segera ialah pembersihan sistem perparitan dan pemasangan paip pembentung baharu.
Katanya, ia juga melibatkan penambahbaikan laluan air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas bagi mengelakkan risiko banjir berulang.

“Langkah berkenaan penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam kejadian berkenaan, 19 kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan oleh sukarelawan pacuan empat roda daripada Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4.
Selain itu, pihak polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung berkenaan bagi memastikan keadaan terkawal dan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Masidi yang juga wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan berkata, beliau akan memastikan Pusat Khidmat DUN Karanaan sentiasa bersiap sedia untuk memantau serta memberi bantuan kepada kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh berikutan hujan lebat.














