SPR Akan Bermesyuarat Tentukan Tarikh PRN17 Negeri Sabah
- nabalunews
- Oct 6
- 1 min read

6 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia mengambil maklum mengenai pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 yang dibuat hari ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 21 Fasal (4) Perlembagaan Negeri Sabah.
“SPR sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan urusan pilihan raya dapat dijalankan dengan lancar dan mengikut ketetapan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Mesyuarat Khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan pelaksanaan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
“Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh SPR,” katanya.
Mesyuarat khas ini difahamkan bagi menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari mengundi awal dan hari mengundi.
Untuk rekod, DUN Sabah mempunyai 73 kerusi yang dipertandingkan dengan penggal pentadbiran terdahulu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri pada September 2020.
Pembubaran ini dijangka membuka lembaran baharu dalam landskap politik Sabah dengan pelbagai parti bersedia untuk menguji semula sokongan rakyat di peringkat negeri.


















Comments