SPRM Tahan Empat Pegawai Awam Bersama Dua Pekerja Agensi Pelancongan
- nabalunews
- Feb 10
- 1 min read

10 Februari 2026
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai awam Badan Berkanun Persekutuan bersama dua pekerja sebuah syarikat agensi pelancongan, semalam.
Penahanan terhadap enam individu berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu dilakukan susulan siasatan berhubung tuntutan palsu membabitkan pembelian tiket kapal terbang
Menurut sumber, semua suspek terlibat dalam tuntutan butiran penerbangan bernilai RM1.3 juta yang dipalsukan.
Katanya, siasatan mendapati tiket sebenar tidak disediakan oleh syarikat berkenaan kepada pegawai dan kakitangan jabatan terbabit.
“Enam suspek, terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan penahanan berkenaan dan menegaskan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu.
Katanya, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pada Selasa bagi membolehkan siasatan lanjut.
“Beberapa siri tangkapan dijangka dibuat pada masa akan datang berdasarkan perkembangan siasatan kes,” katanya.















Comments