SPRM Tahan Pembantu Menteri Berhubung Isu Lesen Cari Gali
- nabalunews
- Jun 23
- 1 min read

23 Jun 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang pembantu menteri susulan kes rasuah melibatkan penerokaan sumber mineral di negeri ini.
Individu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di negeri ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Katanya, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2023 hingga 2024 dengan meminta dan menerima rasuah berkenaan daripada seorang individu berpangkat Datuk kononnya untuk membantu mengurus permohonan lesen cari gali di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Katanya, suspek bagaimanapun dilepaskan selepas diambil keterangan dengan wang jaminan sebanyak RM50,000 tanpa deposit dan seorang penjamin.
“Suspek juga akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya.
Comentários