top of page

STAR, SAPP Pilih Guna Lambang Sendiri, Tamat Keanggotaan Dalam GRS

  • nabalunews
  • Oct 2
  • 2 min read
ree

2 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengambil keputusan untuk bertanding menggunakan lambang parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sekali gus menamatkan keanggotaan dalam gabungan.


Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penetapan itu dibuat selepas keputusan yang disuarakan sendiri oleh Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS, semalam.


Katanya, kedua-dua parti menjelaskan keputusan itu diambil kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimuktamadkan antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).


“Perkara itu membawa kemungkinan parti STAR dan SAPP akan meletakkan calon di kawasan yang turut ditandingi calon daripada PH.


“Dengan keputusan itu, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS secara automatik tamat. Namun, kedua-dua presiden parti berkenaan menegaskan mereka tetap menghormati pendirian parti komponen lain yang memilih untuk kekal dalam GRS serta meneruskan kerjasama strategik dengan PH menjelang PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Masidi berkata, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mesyuarat berkenaan mengingatkan semua parti komponen agar menghormati persetujuan kerjasama yang telah diumumkan bersama PH.


Katanya, mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon dengan lambang parti masing-masing dianggap telah keluar daripada GRS.


“Oleh itu, calon daripada parti terbabit tidak lagi mewakili GRS dalam PRN-17.


“Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) bersama Presiden parti-parti komponen lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS), menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo.


“Mesyuarat tersebut berlangsung dalam suasana muhibah, mesra, ikhlas dan berterus terang dengan semua pimpinan menerima keputusan secara musyawarah, selain meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang sihat dan matang,” katanya.


Sementara itu, Masidi menegaskan GRS komited untuk terus memperkasakan gerak kerja serta memantapkan strategi bagi menghadapi PRN-17 dengan tumpuan kepada kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Sabah.


Katanya, agenda utama mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam itu turut membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).


“Ia termasuklah rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH),” tegasnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page