top of page

Status OKU Bukan Halangan Nursahara Untuk Berjaya

  • nabalunews
  • 45 minutes ago
  • 1 min read

ree

3 Disember 2025


KOTA KINABALU: Status orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda bukan satu halangan buat Nursahara Ali Hassan, 23, yang kini bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS).


Nursahara, yang juga merupakan mantan Presiden Kelab Mahasiswa OKU UMS Sesi 2024/2025 itu merasa sangat gembira kerana berjaya menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial pada tahun ini.


“Saya gembira kerana saya tidak sangka akan dapat habiskan tiga tahun ini tepat pada masanya, tanpa perlu mengulang semula peperiksaan,” jelasnya.


Nursahara terpaksa menggunakan kerusi roda selepas menjalani pembedahan tulang belakang yang disebabkan oleh scoliosis.


Selama belajar di UMS, Nursahara mengakui beliau mengalami pelbagai cabaran, tetapi bantuan daripada orang sekeliling banyak membantu beliau dalam menghabiskan pengajiannya.


“Mula-mula masuk UMS dulu, saya tidak tahu pun tentang Ijazah Kerja Sosial, tapi lepas masuk, baru saya tahu kursus ini memerlukan saya untuk kerap keluar dan bersosial dengan orang ramai.


“Saya ingat saya tidak mampu untuk teruskan kerana saya berkerusi roda, tetapi dorongan dan sokongan ramai buat saya bertahan sehingga kini,” katanya lagi.


Nursahara turut menjelaskan kebimbangan keluarganya ketika dia ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.


“Dari tingkatan enam lagi keluarga saya sangat risau akan keadaan saya semasa belajar nanti.


“Mereka risau saya akan rasa terbeban,” tambahnya lagi.


Setelah melihat semangat dan minat Nursahara untuk meneruskan pengajian, mereka akhirnya bersetuju dan memberikan sokongan penuh.


Nursahara merupakan antara 265 graduan FPKS yang menerima skrol ijazah daripada Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page