Stok beras negara mampu tampung keperluan enam bulan
- nabalunews
- 12 minutes ago
- 1 min read

10 November 2025
KUALA LUMPUR: Stok fizikal beras negara sebanyak 1.19 juta tan metrik masih mencukupi untuk menampung keperluan negara hampir enam bulan, setakat 21 Oktober 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pengeluaran ayam pula diunjur kekal stabil dengan 70.65 juta ekor sedia di ladang bagi menampung permintaan semasa.
Menurut beliau, kerajaan kini melaksanakan pendekatan bersepadu bagi memastikan Malaysia mampu berdikari dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import sekiranya berlaku sekatan makanan asas dari luar negara.
“Bagi menangani risiko serta meningkatkan kemandirian sumber makanan, beberapa strategi utama telah dilaksanakan termasuk menambah baik mekanisme pelaksanaan industri padi dan beras negara.
“Kerajaan turut mempelbagaikan sumber import makanan asas seperti beras, daging, ayam dan susu bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu negara pembekal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) mengenai strategi kerajaan untuk memastikan Malaysia mampu berdikari jika berlaku sekatan import makanan asas.
Mohamad berkata, kerajaan juga akan memperkasa industri lembu pedaging untuk tujuan biak baka menerusi Program Peningkatan Ruminan dan Program Pembiakbakaan Ternakan Ruminan serta Program Insentif Galakan Peningkatan Produktiviti Lembu Pedaging.
“Selain itu, penyelidikan dan pembangunan R&D turut dipertingkakan bagi menghasilkan baka ternakan, benih akuakultur dan varieti padi yang lebih tahan penyakit dan perubahan iklim, selain memperluas penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian,” jelasnya.
Menurut Mohamad, berdasarkan laporan Global Food Security Index (GFSI) 2022 oleh Economist Impact, keterjaminan makanan Malaysia berada pada tahap sederhana dengan skor 69.9.
Beliau berkata, sekiranya berlaku sekatan import, Kadar Sara Diri (SSR) dan Kadar Kebergantungan Import (IDR) akan digunakan sebagai indikator pengukuran keupayaan negara.














