top of page

STPM 2023 : Rekod tertinggi PNGK Nasional dalam tempoh 41 tahun

  • nabalunews
  • Jul 23, 2024
  • 2 min read

23 Julai 2024


KUALA LUMPUR: Seramai 1,116 calon mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 2023.


Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, daripada jumlah itu, 803 calon atau 71.95 peratus adalah daripada kategori B40.


Mohd Ekhwan turut mengumumkan, PNGK Nasional STPM 2023 meningkat

sebanyak 0.02 kepada 2.84 berbanding

2.82 tahun 2022 dan ia adalah PNGK Nasional tertinggi sejak peperiksaan

STPM dilaksanakan.


"Seramai 1,116 calon atau 2.70 peratus calon mendapat PNGK 4.00. Bilangan calon yang meraih PNGK 4.00 ini menurun sebanyak 68 calon iaitu daripada 1,184 calon pada 2022 kepada 1,116 calon tahun lalu dengan 803 calon atau 71.95 peratus dari kategori B40.


"Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2023 pada PNGK 3.75 dan ke atas ialah 10.10 peratus, PNGK 3.00 dan ke atas ialah 44.82 peratus.


"PNGK 2.75 dan ke atas ialah 58.79 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 90.08 peratus turut meningkat berbanding 2022," katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2023 di MPM di sini, hari ini.


Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bilangan calon yang meraih 5A dalam kelima-lima mata pelajaran juga bertambah daripada 38 calon pada 2022 kepada 41 calon dalam peperiksaan STPM 2023.


"Daripada 41 calon yang mendapat 5A ini, 29 adalah calon kategori B40.


"Bagaimanapun, bilangan calon yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM 2023 menurun daripada 1,158 calon pada tahun 2022 kepada 1,087 calon pada 2023.


"Penurunan ini adalah sebanyak 71 calon atau 6.13 peratus daripada tahun 2022 dan 782 daripadanya calon dari kategori B40," katanya.


Secara keseluruhannya, beliau berkata, semua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2023 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus iaitu gred C dan ke atas.


"Bagi peperiksaan STPM 2023, daripada 41,548 calon yang hadir, sebanyak 99.93 peratus atau 41,520 calon layak dianugerahkan sijil STPM manakala hanya 0.07 peratus atau 28 calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini.


"Syarat layak untuk mendapatkan Sijil STPM ialah calon mesti memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran," katanya.


Katanya, MPM turut memilih 17 pelajar terbaik dalam pelbagai kategori termasuk pelajar terbaik kebangsaan STPM Aliran Sains, Sains Sosial, Orang Asli serta calon berkeperluan pendidikan khas dengan masing-masing menerima wang tunai RM1,000, plak dan sijil.


Keputusan STPM 2022 boleh didapati di sekolah masing-masing serta pelbagai platform seperti SMS atau pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK bagi mendapatkan slip mulai 11.30 pagi ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page