STTOS perhebat usaha promosi perdagangan dan pelancongan Sabah
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

23 Januari 2026
SINGAPURA: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, mahu Sabah Trade & Tourism Office Singapore (STTOS) melipatgandakan usaha mempromosikan perdagangan dan pelancongan Sabah.
Beliau berkata, STTOS berperanan penting sebagai barisan hadapan kerajaan negeri dalam mempromosikan potensi pelaburan, perdagangan dan pelancongan Sabah, khususnya di pasaran Singapura yang menjadi antara rakan dagang dan pelabur negeri itu.
Katanya, usaha berterusan STTOS selama ini telah memberi impak positif dengan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan Sabah dalam pasaran Singapura serta merangsang minat pelaburan dari Singapura ke Sabah.

“Saya hargai usaha STTOS menggerakkan promosi pelaburan, perdagangan dan pelancongan di Sabah selama ini yang telah menyumbang kepada penyertaan syarikat tempatan Sabah dalam pasaran Singapura serta meningkatkan minat pelaburan dari Singapura di Sabah.
“Saya telah memberikan beberapa pandangan khususnya promosi ke atas taman-taman perindustrian baharu di Sabah yang diletakkan di bawah MINDET dan juga promosi ke atas pelancongan luar bandar berasaskan komuniti seperti di Kadamaian.
“Saya juga meminta STTOS untuk mempromosi produk dan perkhidmatan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah terutama yang menerima pengiktirafan Anugerah Industri Sabah supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke STTOS salah satu agensi di bawah Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah pada hari pertama lawatan kerjanya di Singapura, kelmarin.
Dalam lawatan tersebut, Ewon menerima taklimat daripada Pengarah Urusan STTOS, Wendy Clare Stephen, berhubung peranan serta pencapaian pejabat berkenaan dalam mempromosikan pelaburan, perdagangan dan pelancongan Sabah di pasaran Singapura.
Selain Singapura, beliau turut menerima cadangan penubuhan pejabat perwakilan seumpama STTOS di negara lain bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan, di samping meningkatkan kualiti dan standard produk serta perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Sabah selari dengan wawasan Sabah First MINDET.

Menurut beliau, usaha berterusan STTOS telah menyumbang kepada peningkatan penyertaan syarikat tempatan Sabah dalam pasaran Singapura serta merangsang minat pelaburan dari Singapura ke Sabah.
Sehubungan itu, beliau menghargai komitmen dan peranan strategik STTOS sebagai penghubung utama antara Sabah dan komuniti perniagaan antarabangsa.
Dalam rangka lawatan kerja yang sama, Ewon mengadakan perbincangan dua hala dengan Singapore Business Federation (SBF) yang diketuai oleh Pengarahnya, Tan Shu Yee.

SBF merupakan pertubuhan apex kepada sekitar 35,000 syarikat perniagaan di Singapura yang ingin memberi tumpuan pelaburan di Borneo termasuk di Sabah.
Beliau berkongsi maklumat mengenai pengembangan taman-taman perindustrian di Sabah serta peranan MINDET dalam memudahcara pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.
“Saya akan menghoskan pertemuan dengan SBF di Sabah semasa kunjungan delegasi mereka pada bulan hadapan sebagai sebahagian usaha berterusan untuk membangunkan ekosistem mesra pelabur di Sabah sesuai dengan wawasan Sabah First.
“Saya juga mengadakan pertemuan dengan Esteel Sabah bagi membincangkan potensi pengembangan pelaburan syarikat tersebut di Sabah,” katanya.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah untuk terus memperkukuh jaringan antarabangsa, menarik pelaburan berkualiti serta memperluas akses pasaran bagi produk dan perkhidmatan tempatan.
Turut serta dalam lawatan itu Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Perindustrian dan Pengangkutan Sabah Datuk Jonnybone Kurum dan Setiausaha Tetap MINDET Datuk Thomas Logijin.


















Comments