Subfertiliti cabaran kalangan pasangan muda hari ini - Julia
- nabalunews
- 12 hours ago
- 2 min read

3 September 2025
TUARAN: Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menganggarkan satu daripada enam pasangan berkahwin di Malaysia menghadapi masalah kesuburan.
Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS), Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag berkata, statistik ini menunjukkan bahawa subfertiliti bukanlah isu terpencil yang hanya berlaku pada segelintir orang.
“Sebaliknya ia adalah cabaran yang semakin meningkat dalam kalangan pasangan muda hari ini. Maka, usaha advokasi dan bantuan klinikal adalah amat penting supaya pasangan ini tidak berasa terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Dari Keluarga Untuk Komuniti sempena pelancaran Program Bantuan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) peringkat negeri Sabah, di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.
Acara hari ini adalah peringkat terakhir program yang dianjurkan di seluruh negeri oleh LPPKN dengan kerjasama MUTIARA-GRS.
Juliah berkata, rawatan infertiliti di klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di seluruh negara membuktikan keberkesanan apabila sebanyak 6,249 kehamilan berjaya direkodkan menerusi perkhidmatan rawatan itu.
Katanya, berdasarkan laporan prestasi LPPKN tahun 2024, seramai 29,163 individu menjalani rawatan itu di klinik-klinik LPPKN di seluruh negara.
Sehubungan itu beliau berkata LPPKN melaksanakan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BUAI) dengan sebanyak 30,000 pasangan disasarkan untuk mendapat manfaat secara langsung.
“Daripada jumlah ini, 1,300 pasangan akan menerima pembiayaan sehingga dua kitaran rawatan Intrauterine Insemination (IUI),” katanya.
Julia berkata, program itu turut memberi penekanan kepada advokasi awal melalui kempen "Lebih Awal, Lebih Baik", yang menyasarkan pasangan untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan seawal mungkin.
“Saya berasa bangga kerana pada hari ini kita dapat bersama dengan peserta daripada kawasan Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu yang menyertai program ini. Ini menunjukan kesungguhan komuniti kita untuk bersama-sama membincangkan isu yang sangat penting iaitu kesuburan dan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Comments