top of page

Sumbangan Dana Ewon Bawa Cahaya ke Luminodip

  • nabalunews
  • Jun 26
  • 1 min read

26 Jun 2025


KOTA BELUD: Penduduk Kampung Luminodip Tambulion Laut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick atas sumbangan dana yang telah disampaikan semasa Pesta Kaamatan kampung tersebut pada 7 Jun lalu.


Sumbangan berkenaan telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk pemasangan lampu solar di setiap simpang utama kampung, dan kini telah siap dilaksanakan dengan jayanya.


Wakil Belia Kampung Luminodip, Clarence Sefenus, yang juga Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan tersebut, memaklumkan bahawa permohonan rasmi telah dikemukakan kepada Ewon semasa majlis sambutan Kaamatan berlangsung.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan mempertingkatkan tahap keselamatan dan kemudahan harian penduduk, khususnya pada waktu malam.


“Pihak belia amat berterima kasih atas keprihatinan Ewon yang telah menyambut baik permohonan kami dan terus menyalurkan bantuan dana. Kini, dengan siapnya pemasangan lampu solar di semua simpang kampung, para penduduk merasa lebih selamat dan selesa menjalani rutin harian,” ujar beliau.


Projek pemasangan lampu solar ini merupakan antara usaha meningkatkan kemudahan asas luar bandar yang digerakkan oleh ADUN Kadamaian, selaras dengan dasar pembangunan inklusif dan berfokuskan rakyat.

Penduduk kampung juga menzahirkan harapan agar program bantuan seumpama ini dapat diteruskan ke kawasan lain yang memerlukan, agar manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh.


Sumbangan tersebut membuktikan komitmen berterusan wakil rakyat dalam memastikan kebajikan masyarakat luar bandar terus dipelihara dan diberi perhatian sewajarnya, sekaligus mencerminkan pendekatan kepimpinan yang mesra rakyat serta berpandangan jauh.

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page