Sumbangan Ewon Perkukuh Aktiviti Borneo NGO Club Sabah Sarawak di Kota Belud
- nabalunews
- Oct 5
- 2 min read

5 Oktober 2025
KOTA BELUD: Program Santai Bersama Pemimpin anjuran Borneo NGO Club Sabah Sarawak telah diadakan di Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud, semalam. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, yang turut menyampaikan sumbangan berupa kanopi, kerusi dan meja kepada kelab berkenaan.
Menurut Saikom, sumbangan tersebut merupakan inisiatif dan keprihatinan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Beliau menegaskan bahawa sumbangan ini diharap dapat membantu memperkukuh kegiatan sosial dan kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh kelab tersebut.
Pengerusi Penganjur, James Anak Jarit, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan yang diberikan. Menurut beliau, permohonan bagi mendapatkan peralatan tersebut telah dikemukakan lebih awal oleh pihak kelab, bagi memenuhi keperluan aktiviti komuniti yang semakin berkembang.
“Peralatan yang disumbangkan akan digunakan untuk pelbagai majlis seperti sambutan perayaan, perkahwinan, kematian serta program kebajikan yang melibatkan masyarakat setempat,” jelas James.
Sementara itu, Pengerusi Program, Majeri Kuhal, turut menyampaikan penghargaan kepada Ewon dan menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai satu dorongan besar kepada kelab untuk terus aktif dan relevan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial.
Beliau turut menegaskan bahawa keahlian Borneo NGO Club Sabah Sarawak tidak terbatas kepada penduduk Kampung Tambulion Ulu sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua individu, lelaki dan wanita, yang berminat menyertai kegiatan sukarelawan.
Menurut Majeri lagi, pihaknya akan mengadakan mesyuarat rasmi kelab dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah-langkah ke arah pendaftaran rasmi kelab di sistem e-ROS. Usaha ini dilihat penting untuk memperkukuh struktur organisasi serta memperluas jaringan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan pertubuhan lain di peringkat negeri.
Program tersebut turut memberi peluang kepada masyarakat setempat berinteraksi secara langsung dengan pemimpin, di samping mempererat hubungan silaturahim antara ahli kelab dan penduduk kampung.
Kehadiran Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran serta beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) turut memeriahkan program santai tersebut.
Sumbangan dan sokongan yang diberikan oleh Ewon bukan sahaja memperlihatkan keprihatinan beliau terhadap keperluan masyarakat akar umbi, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan aktiviti kemasyarakatan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi di kawasan Kadamaian.


















Comments