Sumbangan kepada Peserta Konferensi Wanita SIB Sabah dari Lasau Minunsud
- nabalunews
- Jun 13, 2025
- 1 min read

13 Jun 2025
KOTA BELUD : Clarence Somuil, Pemaju Masyarakat dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian, telah mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N11 Kadamaian, bagi menyampaikan sumbangan dana kepada peserta Konferensi Persekutuan Wanita Sidang Injil Borneo (SIB) Sabah.
Sumbangan tersebut bertujuan menampung kos penginapan dan perjalanan peserta dari Lasau Minunsud, Kota Belud, yang akan menghadiri konferensi tersebut yang dijadual berlangsung dari 13 hingga 15 Jun 2025 di Dewan Kadazan Dusun Cultural Association, Penampang, Sabah.
Konferensi ini merupakan platform penting bagi wanita SIB Sabah untuk memperkukuh perpaduan, memperluas rangkaian kerjasama serta memperkasakan peranan mereka dalam komuniti. Penyerahan dana telah disampaikan kepada Vivilijah Binjamin, Ketua Persekutuan Wanita Gereja SIB Lasau Minunsud, Kawasan Nahaba, Kota Belud, di perkarangan gereja tersebut.
Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Khidmat ADUN N11 Kadamaian dalam menyokong usaha memperkasakan wanita serta memajukan aktiviti keagamaan dan sosial di kawasan setempat. Clarence berharap bantuan ini dapat melancarkan penyertaan para peserta serta menggalakkan hubungan yang lebih erat dalam kalangan komuniti wanita.
Vivilijah Binjamin dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan dan menegaskan bahawa sokongan serta kerjasama seperti ini amat penting dalam memperkukuhkan peranan wanita dalam komuniti Sidang Injil Borneo.
Katanya, ia secara tidak langsung turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan rohani masyarakat setempat.


















Comments