Sumbangan Perbelanjaan Makan Minum Disampaikan Sempena Program Kementerian Perpaduan di Sandakan
- nabalunews
- 11 minutes ago
- 1 min read

25 Jun 2025
KOTA BELUD: Pemaju Mukim Anichlose Kesimin dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Pusat Khidmat ADUN N.11 Kadamaian, telah mewakili Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.11 Kadamaian, untuk menyampaikan sumbangan perbelanjaan makan dan minum kepada wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tengkurus Abadi.
Sumbangan ini diberikan sempena penyertaan wakil-wakil KRT dari seluruh Sabah dalam Program Kementerian Perpaduan yang dijadual berlangsung pada 27 hingga 29 Jun 2025 di Padang Perbandaran Sandakan.
Setiap KRT di negeri ini dikehendaki menghantar wakil sebagai usaha memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menurut maklumat, KRT Kampung Tengkurus Abadi dari Kota Belud juga merancang untuk mengadakan lawatan ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok selepas tamat program tersebut.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan pembelajaran serta memperluas pengetahuan komuniti tentang pemuliharaan alam sekitar.
Sementara itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kota Belud telah meluluskan geran khas bagi menampung kos penginapan serta sewaan pengangkutan pergi dan balik sepanjang tempoh program.
Penyerahan sumbangan telah dilakukan dalam satu majlis ringkas di Pejabat ADUN N.11 Kadamaian.