Sumbangan Sapi Aidiladha: Ewon Santuni Komuniti Islam Kadamaian
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 2 min read

8 Jun 2025
KOTA BELUD: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, telah menyerahkan sumbangan sembilan ekor sapi kepada lapan buah masjid di kawasan Kadamaian dan sebuah masjid di Kampung Sarang, yang terletak di luar kawasan, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan.
Majlis penyerahan tersebut telah berlangsung pada hari Jumaat leps dan disertai oleh wakil-wakil setiap masjid penerima sumbangan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Ewon dalam meraikan perayaan keagamaan masyarakat Islam, walaupun kawasan Kadamaian secara majoritinya didiami oleh komuniti bukan Islam.
Wakil Masjid Kampung Rajunah, Haji Tugiman Kayun, menyatakan penghargaan terhadap sumbangan yang diterima dan memaklumkan bahawa ini merupakan tahun kedua kampung mereka menerima sumbangan sebegini. Tambah beliau, Ewon juga sentiasa menyalurkan sokongan kewangan bagi keperluan masjid di kampung berkenaan.

Bagi Masjid Kampung Tekulung, wakilnya Mohd. Hendika Ginsing turut menzahirkan kesyukuran dan menyifatkan sumbangan ini sebagai satu penghormatan kepada komuniti Islam setempat, khususnya dalam menyambut Aidiladha.

Sementara itu, wakil Masjid Kampung Tengkurus, Antoni Satu, menegaskan bahawa beliau amat menghargai pendekatan inklusif Ewon yang sentiasa memastikan komuniti Islam tidak dipinggirkan.
“Walaupun Kadamaian merupakan kawasan majoriti Kristian, beliau tetap memberi perhatian kepada semua agama secara adil dan saksama,” ujarnya.
Wakil Masjid Kampung Sarang, Johan Daukim, pula menyatakan rasa terharu apabila kampung mereka, yang berada di luar kawasan Kadamaian, turut tersenarai sebagai penerima sumbangan.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih. Walaupun tidak mengharapkan, ternyata sumbangan ini membuktikan keprihatinan beliau merentas sempadan politik dan geografi,” katanya.
Selain masjid di kampung-kampung yang disebutkan, antara penerima sumbangan lain ialah Masjid Kampung Lobong-Lobong, Lompios, Kebidahan, Tambulion dan Dundau.
Usaha ini menggambarkan nilai perpaduan dan keharmonian antara agama yang sentiasa menjadi teras kepimpinan Ewon, sekaligus memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang di Sabah.
Comments