Sumbangan Strategik Kukuhkan Tindakan Bencana di Kota Belud
- nabalunews
- Jun 25, 2025
- 2 min read

25 Jun 2025
KOTA BELUD: Usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi bencana di daerah ini terus diperkasa menerusi sumbangan rasmi daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, kepada Pusat Kajian Bencana Alam, Fakulti Sains dan Teknologi (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Permohonan bagi sumbangan tersebut telah dikemukakan oleh Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyne M. Payus. Penyerahan dilakukan oleh Pemaju Masyarakat, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, mewakili pihak YB Menteri, dan diterima oleh Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran, mewakili pihak fakulti.
Menurut Eldawaty, sumbangan kewangan tersebut akan digunakan bagi pelaksanaan Majlis Penyerahan Sijil Lantikan Pasukan Bertindak Bencana Melangkap serta Perasmian Bilik Operasi Makmal Hidup Bencana Alam Melangkap, Kota Belud (MaHBAM), yang akan diadakan pada 26 Jun 2025.
Majlis berkenaan akan melibatkan pelantikan rasmi pasukan bertindak yang terdiri daripada wakil komuniti di lima buah kampung, iaitu Kampung Melangkap Baru, Melangkap Tiong, Melangkap Kapa, Melangkap Noriou dan Melangkap Tomis. Turut serta dalam inisiatif ini ialah Pejabat Daerah Kota Belud, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Belud serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) Kota Belud.
Menurut beliau, penubuhan pasukan ini merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuhkan keupayaan komuniti setempat dalam menghadapi sebarang bentuk bencana alam melalui kolaborasi strategik antara pihak akademik, agensi kerajaan dan masyarakat.
“Pihak NDRC amat menghargai sumbangan serta sokongan padu yang diberikan oleh Ewon. Ia menunjukkan komitmen beliau dalam memperkasa keupayaan komuniti luar bandar khususnya dari aspek kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap bencana,” ujar Eldawaty.
Sumbangan ini juga merupakan sebahagian daripada pendekatan bersepadu kerajaan negeri dalam membangunkan model pengurusan risiko bencana secara berasaskan komuniti dan sains, melalui pemerkasaan infrastruktur serta jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan pihak berkuasa tempatan.















Comments