top of page
nabalunews

Sumber minyak mentah, gas di Semenanjung menyusut 50 peratus - Rafizi


18 November 2024


KOTA BHARU: Sumber minyak mentah dan gas di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini memberi kelebihan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan agihan pendapatan, kini berkurangan 50 peratus dalam tempoh 10 tahun ini.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata sumber minyak dan gas kini hanya terdapat di Sabah dan Sarawak susulan penemuan terbaharu dan bukannya di Semenanjung Malaysia.


"Di Semenanjung, kita memang semakin kehabisan minyak dan gas.


"Sebelum ini dalam tempoh lima hingga 10 tahun, jumlah pengeluaran minyak ialah 700,000 tong sehari, namun sekarang berkurangan kepada 350,000 tong sehari.


"Kekurangan sumber minyak dan gas di Semenanjung Malaysia menjadi cabaran besar kepada kerajaan dalam soal mengagihkan dan menentukan peruntukan ke negeri.


"Di Semenanjung, kita mengimport 30 peratus gas untuk menjana elektrik dalam industri dan jika tidak berhati-hati atau tidak ada langkah diambil, kita akan terus bergantung kepada negara asing," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Darulnaim di sini, pada Ahad.


Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.


Rafizi berkata, sumber minyak dan gas di Sabah dan Sarawak digunakan bagi memenuhi tuntutan serta penggunaan di kedua-dua negeri itu.


"Selain memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak, sumber ini sebahagian besar memang dieksport dan diikat dengan perjanjian jangka panjang oleh pembeli," katanya.

Comments


bottom of page