Superintendan Tan Hiap Wah Dilantik Ketua Polis Daerah Semporna Baharu
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 1 min read

15 Disember 2025
SEMPORNA: Superintenden Tan Hiap Wah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Semporna yang baharu bagi menggantikan pemangkunya, Deputi Superintenden Jaafar Hakim, hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna itu disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Jauteh dalam ucapannya berkata, kepimpinan Ketua Polis Daerah (KPD) di peringkat daerah merupakan barisan hadapan dalam membentuk persepsi serta keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, peranan KPD bukan sahaja tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan pasukan, malah turut mencerminkan imej, integriti serta kredibiliti PDRM di mata masyarakat setempat.
“Kepimpinan KPD adalah penentu keyakinan rakyat terhadap pasukan. Oleh itu, kesinambungan kecemerlangan perlu diteruskan tanpa membandingkan gaya kepimpinan terdahulu,” katanya.
Sementara itu, Jauteh turut merakamkan penghargaan kepada Jaafar atas sumbangan dan kecemerlangan sepanjang memangku jawatan KPD Semporna.
Katanya, penghargaan khusus kepada aspek pentadbiran, perancangan strategik, pemantauan operasi serta penyelarasan antara bahagian.
“Kepimpinan berkesan di peringkat daerah menuntut keupayaan mengendalikan kes berprofil tinggi serta isu keselamatan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Penghargaan juga kepada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Semporna atas peranan aktif menjaga kebajikan keluarga warga PDRM serta memperkukuh sokongan sosial dalam pasukan,” katanya.
Sehubungan itu, Jauteh menyeru seluruh warga IPD Semporna agar terus komited, ikhlas dan progresif dalam melaksanakan amanah.
Katanya, terutamanya dalam memastikan keselamatan maritim, sektor pelancongan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini terus terpelihara.














