top of page

Suspek Curi Kereta Ditahan

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

9 Mac 2026


LABUAN: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes curi kereta pacuan empat roda Toyota Land Cruiser dalam kejadian di hadapan Balai Raya Kampung Sungai Miri, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki berusia 39 tahun terbabit berjaya ditahan orang awam selepas dikesan cuba melarikan kenderaan berkenaan.


Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kenderaan berusia 63 tahun pada jam 10.29 pagi.


Katanya, mangsa mendakwa kenderaan miliknya telah dicuri oleh individu yang tidak dikenali selepas ditinggalkan dalam keadaan tidak berkunci untuk menangkap ikan di laut berhampiran.


“Kejadian disedari dua saksi awam yang berada berhampiran lokasi kejadian apabila melihat seorang lelaki melarikan kenderaan berkenaan.


“Kedua-dua saksi kemudiannya bertindak mengejar suspek sehingga kenderaan yang dipandu terbabas dan melanggar tiang elektrik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, suspek kemudiannya lari meninggalkan kenderaan berkenaan namun berjaya ditahan oleh orang awam di kawasan Labuan International Golf Club.


Katanya, suspek diserahkan kepada pihak polis kira-kira jam 8.15 pagi dan kenderaan yang dianggarkan bernilai RM 25,000 itu berjaya dirampas semula.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh juga dikenakan denda,” katanya.


Sehubungan itu, Hamizi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dengan memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna dan tidak meninggalkan kunci di dalam kenderaan bagi mengelakkan kejadian kecurian.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah juga boleh menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah dan mengekalkan keselamatan awam,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page