Suspek Kes Amang Seksual Kanak-Kanak Ditahan
- nabalunews
- Jul 29, 2025
- 1 min read

29 Julai 2025
PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam kes amang seksual melibatkan kanak-kanak yang tular di media sosial dalam kejadian 22 Jun lalu, berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan di tepi jalan di Putatan kira-kira jam 6 petang, semalam.
Katanya, suspek sudah ditahan reman untuk membantu siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara dan sebatan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sehubungan itu, Sammy berkata, pihaknya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat mengenai suspek.
“Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada Pegawai dan anggota Balai Polis Putatan yang efisien dalam usaha mengesan suspek sehingga berjaya diberkas,” katanya.















Comments