top of page

Suspek Kes Samun Bersenjata Ditahan

  • nabalunews
  • 44 minutes ago
  • 1 min read

27 Februari 2026


PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata dalam kejadian di sebuah premis 24 jam di daerah ini, Rabu lalu.


Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 3.57 pagi itu, suspek berusia 33 tahun terbabit dipercayai merompak wang tunai sejumlah RM300 dengan bersenjatakan pisau.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak maklumat, pihaknya berjaya menahan suspek di sebuah hotel di Putatan, pada Khamis, kurang 48 jam dari kejadian dilaporkan.


Katanya, polis turut berjaya merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan semasa kejadian.


“Antara barangan yang dirampas termasuk helmet, pakaian, sebilah pisau serta motosikal bagi membantu siasatan.


“Semakan juga mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau termasuk kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, siasatan lanjut turut mendapati suspek terlibat dalam beberapa kes samun yang dilaporkan berlaku di daerah Penampang.


Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.


“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebat,” katanya.


Sehubungn itu, Sammy menyeru orang ramai supaya terus menjadi mata dan telinga pihak polis untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah.


Katanya, ia adalah sebahagian usaha membanteras jenayah serta mengekalkan keselamatan komuniti.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page