Suspek Larikan Kereta Ditahan
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 1 min read

23 Januari 2026
SANDAKAN: Seorang penjenayah yang cuba melarikan sebuah Proton Exora dalam kejadian di Stesen Petronas Batu 32, di sini, berjaya ditahan, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kenderaan berkenaan dilaporkan dilarikan ketika ditinggalkan seketika dalam keadaan enjin hidup oleh pemiliknya untuk urusan di premis berhampiran.
Malah lebih membimbangkan apabila terdapat dua kanak-kanak berusia 7 dan 9 tahun sedang menunggu di dalam kereta berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, dua kanak-kanak terbabit merupakan anak perempuan serta anak saudara lelaki pemilik kereta.
"Kedua-dua kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya keluar dari kenderaan berkenaan dalam keadaan selamat sebelum suspek melarikan kereta terbabit.
"Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan yang dipandu suspek ketika melalui Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Jalan Sapi Nangoh, Beluran, pada hari sama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 52 tahun bersama kenderaan yang dilaporkan hilang.
Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak meninggalkan kenderaan dalam keadaan enjin hidup, lebih-lebih lagi apabila terdapat kanak-kanak di dalam kenderaan," katanya.
Sebelum ini, satu video tular di laman sosial menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju berwarna jingga mengetuk kereta yang berada di stesen minyak sebelum memandu keluar kereta berkenaan daripada stesen itu.


















Comments