Suspek Samun Farmasi Bersenjatakan Pisau Ditahan
- nabalunews
- Sep 7
- 1 min read

7 September 2025
KOTA KINABALU: Seorang remaja yang cuba menyamun sebuah premis farmasi di Jalan Gaya, di sini, gagal apabila berjaya ditahan dengan bantuan orang awam.
Dalam kejadian jam 4.41 petang itu, lelaki berusia 18 tahun terbabit dilaporkan membawa sebilah pisau sehingga mencederakan pekerja premis di farmasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek masuk ke premis berkenaan sambil mengacukan pisau ke arah seorang pekerja.
Katanya, suspek kemudiannya mengarahkan pekerja terbabit supaya membuka mesin wang tunai.
“Mangsa yang juga pekerja farmasi mengalami kecederaan di tapak tangan kanan selepas cuba melawan dan merampas senjata suspek.
“Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada orang awam yang membantu dalam penangkapan suspek.
Bagaimanapun katanya, orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati serta segera menghubungi polis sekiranya berdepan dengan kejadian jenayah.


















Comments