Sustainability Camp 2025 Perkukuh Literasi STEM dan Amalan Lestari di SMK Kuhara, Tawau
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

20 November 2025
KOTA KINABALU: Program Professor@School: Sustainability Camp 2025 anjuran Fakulti Kejuruteraan (FKJ) serta Perpustakaan UMS (U-Science) baru-baru ini mampu memperkukuhkan lagi pengetahuan berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Program yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, Tawau itu dirangka bagi memberi pendedahan dalam kalangan pelajar mengenai bidang STEM serta menggalakkan pembudayaan inovasi serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau Sektor Pembelajaran, Mohd Noor Kahal berkata, Sustainability Camp ini merupakan satu inisiatif bermakna dalam memperluas kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

“Usaha bersama antara UMS dan SMK Kuhara telah membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka potensi diri melalui pengalaman pembelajaran sebenar.
“Inisiatif ini bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, malah mengukuhkan hubungan komuniti dan institusi pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Program yang berlangsung selama tiga hari itu diketuai oleh Pengarah Pusat Pengurusan Strategik, Profesor Ir. Dr. Nurmin Bolong dengan sokongan pelajar tahun empat Program Kejuruteraan Awam, UMS.

Menerusi program tersebut, peserta diberi pendedahan secara langsung melalui aktiviti berasaskan amali seperti pembuatan eco-brick daripada plastik terpakai, pembangunan kebun mini menggunakan kompos Bokashi, serta penghasilan sabun mesra alam daripada minyak masak terpakai.
Pendekatan itu dirangka bagi memperkukuh kemahiran penyelesaian masalah, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar, selain memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Turut sama menjayakan program tersebut Pensyarah Kanan FKJ, Profesor Madya Ts. Dr. Ismail Saad, Pensyarah Kanan merangkap penasihat program, Ts. Dr. Siti Nor Farhana Zakaria, serta Pengetua SMK Kuhara, Mokhtar Abdul Rashid.


















Comments