top of page

Suzie Rasmi Majlis Sugandoi Dazanak dan Terbuka di SK Lampada

  • nabalunews
  • Jun 18
  • 2 min read

18 Jun 2025


KOTA MARUDU: Majlis Pertandingan Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Terbuka Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Lampada berlangsung penuh meriah pada 16 Jun lalu, diserikan dengan kehadiran Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) bagi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bandau, Suzie Salapan sebagai tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan majlis perasmian.


Majlis yang berlangsung di perkarangan SK Lampada ini bukan sahaja mencerminkan komitmen pihak sekolah dalam memartabatkan budaya warisan etnik Sabah, tetapi juga memperlihatkan penglibatan aktif komuniti dalam menyokong pembangunan holistik murid-murid.


Dalam ucapan perasmiannya, Suzie menyatakan penghargaan atas jemputan yang diterima serta menzahirkan rasa bangga terhadap usaha murni yang ditunjukkan oleh pihak penganjur dan seluruh warga sekolah.

“Terima kasih atas jemputan untuk saya merasmikan program ini. Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana, barisan guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta seluruh warga SK Lampada atas usaha dan komitmen yang membanggakan,” ujar beliau.


Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini perlu terus diperkasakan kerana ia merupakan medium penting dalam mencungkil bakat, membina jati diri, serta memperkukuh semangat cinta akan budaya dalam kalangan generasi muda.


Penganjuran Sugandoi Dazanak dan Sugandoi Terbuka ini merupakan antara inisiatif sekolah dalam menyemarakkan penghayatan seni dan budaya dalam kalangan murid. Program sebegini juga berperanan sebagai platform alternatif untuk membentuk sahsiah pelajar melalui aktiviti ko-kurikulum yang berimpak tinggi.

Sambutan menggalakkan daripada warga sekolah serta sokongan padu ibu bapa membuktikan betapa pentingnya penglibatan komuniti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan yang inklusif dan menyeluruh.


Mengakhiri ucapannya, Suzie menzahirkan harapan agar SK Lampada akan terus melakar kecemerlangan dalam pelbagai bidang.


“Semoga SK Lampada terus sukses dan menjadi pusat melahirkan anak-anak murid yang cemerlang, berdisiplin dan berjaya dalam pelbagai bidang,” katanya.


Majlis perasmian tersebut telah berjaya mencipta suasana harmoni dan meriah, sekali gus memperkukuh peranan sekolah sebagai institusi pemangkin pembangunan sahsiah dan budaya dalam kalangan generasi muda di kawasan luar bandar.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page