Syarikat belum dapat fleet card SKPS boleh tuntut balik subsidi RON95
- nabalunews
- Sep 27
- 1 min read

27 September 2025
KOTA KINABALU: Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang masih belum memperoleh 'fleet card' di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) boleh memohon tuntutan bayaran balik tunai subsidi RON95 bermula 30 September ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kemudahan itu membolehkan syarikat berkaitan membuat tuntutan perbezaan harga RON95 yang telah dibayar pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi RON95 SKPS iaitu RM2.05 seliter.
“Bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat ditetapkan di mana syarikat perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon fleet card sebelum atau pada 31 Oktober.
“Selain itu, pembayaran balik tunai adalah untuk tempoh pembelian petrol mulai 30 September sehingga 31 Oktober, atau sehingga tarikh fleet card diterima, yang mana yang lebih awal,” katanya menerusi satu kenyataan.
Armizan berkata, permohonan bayaran balik boleh dibuat melalui platform SKPS di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dengan memuat naik resit pembelian sebagai bukti pembelian petrol RON95.
Jelasnya, bayaran balik akan dikreditkan terus ke akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai.
Dalam pada itu katanya, bermula 15 sehingga 25 September lalu, sebanyak 5,233 syarikat melibatkan 12,955 kenderaan di seluruh negara telah mendaftar melalui SKPS.
Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat-syarikat pengangkutan awam darat dan barangan yang masih belum mendaftar supaya berbuat demikian segera bagi menikmati subsidi bahan api tersebut.
Untuk maklumat lanjut berkaitan bayaran balik tunai di bawah SKPS, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SKPS di talian 03-8882 5893/5894/5923/6667 atau melalui e-mel bayaranbalikmysubsidi@kpdn.gov.my.


















Comments