Syarikat penerbangan diminta tidak naikkan harga tiket
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Syarikat penerbangan diminta tidak naikkan harga tiket


12 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan diminta supaya tidak menaikkan harga tiket penerbangan domestik sesuka hati, terutama pada musim perayaan.


Baru-baru ini harga tiket penerbangan dari Sabah ke Semenanjung naik mendadak sehingga membebankan ramai anak perantauan yang ingin kembali pulang bertemu keluarga dan berhari raya.


"Walaupun ramai anak perantau kini sudah berpeluang pulang ke sisi keluarga namun masih ramai yang kecewa kerana tidak mampu membeli tiket penerbangan berikutan kos tiket penerbangan yang terlampau mahal,” kata Pengerusi Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan.


Menurut David, peralihan fasa endemik setelah sekian lama bergelut dengan pandemik COVID-19 adalah berita gembira untuk semua rakyat, terutama mereka yang sudah lama tidak berjumpa keluarga.


"COVID-19 kini beransur pulih, ekonomi kita juga sedang mula 'sembuh' dan pulih, bagaimana pula perkara sebegini (peningkatan harga tiket penerbangan) boleh berlaku secara keterlaluan, tanpa memikirkan kesan kepada pengguna, kepada anak-anak kita yang bekerja atau belajar jauh.


"Kebanyakan rakyat tidak mampu kerana kita bukan orang yang senang, bayangkan jika kos penerbangan yang keterlaluan ini, menjadi sebab, sekali lagi anak-anak kita yang jauh ini terpaksa bersendirian di perantauan berhari raya,” katanya.


Jelas David, kos tiket penerbangan yang meningkat secara mendadak bagi penerbangan domestik adalah suatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dan perlu diteliti semula oleh pihak berwajib.


"Kerajaan perlu lihat perkara ini dengan serius, ya kita boleh faham, setekah sekian lama syarikat penerbangan tidak dapat beroperasi dan menjana pendapatan, kini masanya mereka kembali menjana pendapatan, namun adalah tidak wajar jika ia umpama 'menjerat' pengguna.


"Kerajaan perlu lihat perkara ini dengan sangat serius, tolonglah fahami keadaan dan keperluan serta keperitan rakyat di bawah, yang sekian lama bertahan berjauhan dari keluarga," katanya lagi.


Dalam pada itu, David turut menyeru syarikat penerbangan untuk tidak bersikap mementingkan diri dan rakus.

bottom of page