Syarikat perkapalan setuju tangguh surcaj kesesakan, operator pelabuhan perkenal ‘Berthing Window Program’ - Ewon
- nabalunews
- 37 minutes ago
- 2 min read

16 Mei 2026
PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata, syarikat-syarikat perkapalan yang sebelum ini bercadang memperkenalkan surcaj kesesakan berkaitan isu di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) bersetuju menangguhkan pelaksanaan caj tersebut selepas siri libat urus berterusan bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET).
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, keputusan itu dicapai hasil pertemuan dan rundingan antara kementeriannya dengan syarikat perkapalan serta persatuan pengguna pelabuhan.
“Dalam minggu ini sahaja, saya mengadakan tiga pertemuan bersama syarikat perkapalan bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu tersebut.

“Sebelum saya ke Lahad Datu kelmarin, saya sempat mengadakan pertemuan dengan mereka dan kerana mereka yakin dengan apa yang kita lakukan serta apa yang mereka lihat di lapangan, kesemua syarikat perkapalan yang pada mulanya mahu memperkenalkan surcaj itu telah memaklumkan secara rasmi bahawa mereka menangguhkan hasrat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Buhavan Square, di sini, hari ini.
Ewon berkata, keputusan itu juga merupakan satu kejayaan besar kerana pelaksanaan surcaj berkenaan akhirnya akan membebankan pengguna.

“Kalau diteruskan, ia akan memberi kesan kepada rantaian perkhidmatan dan akhirnya kitalah selaku pengguna akhir yang akan menanggung kosnya.
“Tetapi selepas dibincang dan diputuskan untuk tidak diteruskan oleh syarikat-syarikat perkapalan, saya yakin kita kini boleh memberi fokus kepada perkara yang menyumbang kepada kecekapan tadbir urus dan operasi di pelabuhan,” katanya.
Ewon turut memaklumkan bahawa operator pelabuhan kini memperkenalkan inisiatif baharu dikenali sebagai ‘berthing window program’ bagi meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kesesakan kapal di pelabuhan.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah berdiam diri dalam menangani isu kesesakan di pelabuhan kontena Sepanggar yang kini menjadi perhatian umum.
“Dari bulan Februari kita telah membentuk satu pasukan petugas dan hampir setiap minggu kita memantau pelaksanaan langkah-langkah pelan tindakan yang telah dipersetujui di kabinet,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon menegaskan beliau akan terus bekerja keras dalam memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan demi kepentingan rakyat dan ekonomi negeri.
“Saya tidak pernah berdiam diri. Semakin banyak pihak memberi kenyataan, semakin kuat saya bekerja. Inilah semangat Sabah First yang mesti kita teruskan,” katanya.
Ewon turut menyeru semua pihak di Penampang tanpa mengira latar belakang politik untuk terus bersatu demi pembangunan daerah dan negeri.
“Saya amat yakin dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya, Penampang akan menerima manfaatnya selagi kita bekerja sebagai satu pasukan.















Comments