top of page
  • nabalunews

Syarikat Perladangan Dicadang Kembalikan 20 Peratus Tanah Pajakan Untuk Faedah Rakyat

1 September 2024


BAGAN DATUK: Syarikat-syarikat perladangan yang telah tamat tempoh pajakan dengan kerajaan, dicadang untuk mengembalikan 20 peratus daripada keluasan tanah yang dipajak itu kepada kerajaan negeri, jika mahu kembali menyambung pajakan.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu, yang sedang dikaji dengan teliti oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bersama kerajaan negeri termasuk Wilayah Persekutuan, sebelum ia dilaksanakan.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) MEB berkata cadangan itu, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membolehkan rakyat mendapat faedah daripada tanah yang dikembalikan itu, lapor Bernama.


“Kita minta tanah-tanah estet supaya apabila tamat tempohnya, yang lazimnya semasa zaman Inggeris dulu diberikan (pajakan) 99 tahun, dikembalikan hanya 20 peratus sahaja, jika mahu disambung penggunaannya.


“20 peratus itu diberikan balik kepada kerajaan negeri untuk kerajaan negeri dapat faedah dibangunkan untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam, di sini hari ini.

Comments


bottom of page