Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta, sebatan selepas didpati bersalah
- Wartawan Nabalu News
- Nov 9, 2023
- 2 min read

9 November 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dengan dua sebatan, serta denda RM10 juta kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas beliau didapati bersalah terhadap kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid yang memutuskan kes itu berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat melakukan pecah amanah sebanyak RM1 juta dana milik sayap Angkatan Muda Bersatu (Armada) pada Mac 2020.
Bagi pertuduhan ini, Syed Saddiq diarah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun dan satu kali sebatan.
Bagi pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 sumbangan parti milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan sekali sebatan.
Bagi dua pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dua transaksi RM50,000 setiap satu, beliau dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta, yang akan berjalan serentak.
Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama empat tahun jika gagal membayar denda.
Hakim membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.
Terdahulu, Syed Saddiq dalam rayuannya menerusi peguam Haijan Omar memohon anak guamnya dikenakan penjara atau denda sahaja, mengambil kira faktor usia, sumbangan beliau sepanjang terbabit dalam politik dan faktor beliau perlu menjaga ibunya yang menghidap kanser payudara.
Tambah Haijan, anak guamnya juga akur, menyesal dan akan memuhasabah diri susulan keputusan tersebut.
Bagaimanapun, pendakwaan memohon supaya hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh termasuklah hukuman penjara dua hingga empat tahun, denda RM5 juta serta sebatan tiga hingga lima kali.
Hujah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kesalahan yang dilakukan Syed Saddiq tidak boleh dipandang remeh apatah lagi beliau bergelar wakil rakyat.
Comments