Tafsiran MA63 tanpa minyak dan gas bercanggah semangat pembentukan Malaysia
- nabalunews
- 10 hours ago
- 2 min read

28 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Sebarang tafsiran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memisahkan Sarawak daripada hak minyak dan gas bukan sahaja tidak lengkap, malah disifatkan sebagai pencabulan terang-terangan terhadap semangat, janji dan maruah pembentukan Malaysia.
Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie, menegaskan Sarawak sama sekali tidak akan menerima naratif sempit yang menggambarkan MA63 sekadar dokumen simbolik yang tidak menyentuh soal sumber asli.
Ia kerana, menurut beliau, tafsiran sedemikian mengosongkan makna sebenar perjuangan Sarawak ketika bersetuju untuk bersama membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963.
“Kalau MA63 tidak melindungi hak Sarawak ke atas sumbernya sendiri, maka apakah sebenarnya yang Sarawak persetujui pada 1963? Autonomi tanpa kuasa atu perkongsian tanpa keadilan?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pada Isnin yang menyatakan MA63 tidak mengandungi peruntukan berkaitan minyak dan gas, manakala industri petroleum diletakkan sepenuhnya di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA).
Doris berkata, jawapan tersebut mencerminkan pendekatan birokratik yang gagal memahami konteks dan kedudukan sejarah Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia.
“MA63 bukan manual industri, tetapi kontrak perlembagaan dan janji politik yang menjadi asas penyertaan Sarawak sebagai rakan pengasas, bukan sebagai penumpang.
“Sarawak tidak lahir daripada Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya Perlembagaan itu sendiri lahir daripada persetujuan Sarawak, Sabah dan Malaya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang undang-undang Persekutuan, termasuk PDA 1974, tidak boleh ditafsir atau digunakan untuk mengecilkan hak yang telah dijanjikan di bawah MA63.
Doris turut mengingatkan bahawa PDA digubal dalam suasana darurat tanpa persetujuan Sarawak dan tidak pernah mendapat mandat politik atau perundangan daripada Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, beliau juga mempertahankan kedudukan Oil Mining Ordinance 1958 (OMO 1958) sebagai asas kedaulatan perundangan Sarawak yang wujud sebelum pembentukan Malaysia dan tidak pernah dimansuhkan secara sah di bawah kerangka MA63.
“OMO 1958 bukan tinggalan kolonial yang lapuk, sebaliknya simbol kuasa Sarawak yang dibawa masuk ke dalam Malaysia dan tidak pernah diserahkan atau dipadamkan.
“Apabila Sarawak hari ini bersandar kepada OMO 1958 dan mengangkat PETROS sebagai agregator gas, Sarawak tidak mencabar Persekutuan, sebaliknya sedang menuntut semula ruang yang telah lama dikecilkan secara senyap,” katanya.
Pada masa sama, Doris menyifatkan tindakan membawa pertikaian berkaitan minyak dan gas ke mahkamah ketika rundingan masih berjalan sebagai kegagalan politik dan moral, serta bertentangan dengan semangat MA63 yang menekankan rundingan dan persetujuan bersama.
Menolak dakwaan bahawa Sarawak bersikap tamak dalam isu sumber, Doris menegaskan negeri itu hanya menuntut pelaksanaan janji yang telah dipersetujui.
“Isu minyak dan gas Sarawak bukan sekadar pertikaian teknikal atau korporat, tetapi medan ujian paling besar terhadap keikhlasan Persekutuan dalam menghormati rakan pengasasnya.
“Jika MA63 boleh diketepikan hari ini, apa lagi yang boleh diketepikan esok? Dan jika Sarawak terus berdiam, maka kita sendiri mengizinkan sejarah kita dipadam,” katanya.


















Comments