top of page

KPDN perkenal peraturan baharu cegah kenderaan asing beli RON95 bersubsidi

  • nabalunews
  • 16 minutes ago
  • 2 min read

28 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan peraturan baharu di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan pendaftaran asing.


Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, peraturan baharu tersebut kini di peringkat libat urus dengan semua pihak terlibat dan KPDN menyasarkan ia dikuatkuasakan pada 1 April 2026


Menurutnya, di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, larangan hanya terhad kepada penjualan petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan berpendaftaran asing.


"Ia bermakna larangan hanya kepada penjualan yang akan menyebabkan tindakan hanya akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak, tetapi tidak kepada pemilik atau pembeli yang menggunakan kenderaan pendaftaran asing.


“Melalui peraturan baharu ini kelak, larangan dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kedua-dua pihak, stesen minyak dan juga pemilik atau pengguna kenderaan berpendaftaran asing katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan), berhubung langkah penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan subsidi RON95 bawah Program Pengedaran Barang Perlu (PBP).


Menjawab soalan asal Andi mengenai tindakan membanteras penyeludupan petrol di sempadan, khususnya Tawau-Indonesia, Armizan berkata, KPDN terus memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat runcit bagi memastikan penyaluran subsidi tepat kepada golongan sasar.


“Antara langkah dilaksanakan termasuk pemeriksaan berkala di stesen minyak bagi memastikan pematuhan mekanisme penggunaan kad pengenalan selain penguatkuasaan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing.


“KPDN turut menguatkuasakan kawalan pembelian petrol luar tangki dengan menghadkan penjualan tidak melebihi 20 liter tanpa permit khas serta melaksanakan pemantauan berkala melalui buku log dan peti lawatan di stesen minyak di kawasan sempadan,” katanya.


Tambah beliau, kementeriannya juga menggunakan analitik data jualan dan rekod pembelian bagi RON95 dan diesel di stesen minyak di kawasan sempadan bagi mengenal pasti corak pembelian berulang menggunakan MyKad.


Selain itu, katanya, KPDN turut menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu bersama pihak berkuasa lain dalam usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page