Virus Nipah: Tiada kes dilaporkan di Malaysia sejak 1999
- nabalunews
- 34 minutes ago
- 2 min read

28 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada kes baharu wabak virus Nipah dilaporkan di negara ini sehingga kini susulan kejayaan membendung wabak penyakit itu sejak September 1999.
Bagaimanapun, KKM memaklumkan, pihaknya kekal berwaspada terhadap risiko penularan rentas sempadan susulan kejadian jangkitan secara sporadik di beberapa negara lain.
Sehubungan itu, katanya, kementerian terus memperkukuhkan kesiapsiagaan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), khususnya melibatkan pengembara dari negara berisiko.
“Pada masa sama, KKM turut mempertingkatkan pengawasan berterusan, pengukuhan kapasiti makmal negara, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan termasuk amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC).
“Selain itu, kerjasama rentas sektor dan antara agensi juga diperkukuh bagi melindungi kesihatan awam dan mencegah kemunculan semula Penyakit Nipah di negara ini,” maklum KKM dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, pemantauan berterusan penyakit itu turut dipertingkatkan melalui kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung (Perhilitan) melalui pendekatan One Health.
Setakat ini, katanya, tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar.
KKM menjelaskan, penyakit Nipah wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Orang awam khususnya pengembara ke kawasan berisiko tinggi dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit atau pengambilan produk yang disyaki tercemar.
"Pengembara dari kawasan yang berisiko dinasihatkan untuk memantau status kesihatan kendiri dan segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya tidak sihat," katanya.
Penyakit Nipah ialah penyakit berjangkit zoonotik yang disebabkan oleh virus Nipah (NiV) dengan keluang (flying foxes/ fruit bats) sebagai perumah semula jadi (natural reservoir).
Menurut KKM, jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah, dan rembesan, pengambilan yang telah tercemar dan kontak dengan cecair badan individu dijangkiti.
“Gejala seperti demam, sakit kepala, muntah, batu bernafas, sawan, kekeliruan, dan kebingungan lazimnya muncul selepas tempoh pengeraman antara lima hingga ke 14 hari.
“Komplikasi penyakit itu termasuk radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan dengan kadar kematian antara 40 hingga 75 peratus,” katanya.


















Comments