top of page

Ujian diagnostik kemasukan murid Tahun Satu tidak dilaksana - PM

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

27 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut beliau, walaupun penilaian awal penting bagi menentukan tahap kesiapsiagaan kanak-kanak, kerajaan mengambil kira kebimbangan bahawa ujian diagnostik boleh memberi kesan psikologi serta bersifat diskriminatif terhadap kanak-kanak.


"Cadangan awal itu baik sebab ada satu sistem penilaian sebelum anak masuk sekolah, tetapi ia boleh menjadi diskriminatif contohnya jika dianggap tidak layak atau kurang cerdik.


"Mungkin ada kesan psikologi. Oleh itu ditiadakan. Itulah cadangan Menteri Pendidikan dan saya setuju ditiadakan dan dipermudahkan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian bagimenjawab soalan Syed Saddiq Syed Rahman (Muda-Muar) mengenai kebimbangan nasib murid yang tidak melepasi kelayakan ujian diagnostik hingga mereka akan keciciran pembelajaran.


Anwar berkata, ketiadaan ujian tersebut tidak bermakna aspek pemantauan diketepikan, sebaliknya peranan guru dan ibu bapa perlu diperkukuh bagi memastikan tahap kesediaan serta perkembangan pembelajaran kanak-kanak dipantau dengan lebih berkesan.


Tambahnya, pendidikan prasekolah merupakan langkah proaktif kerana ia menyediakan tempoh setahun untuk penilaian dan pemerhatian awal terhadap murid.


"Begitu juga dengan ujian Darjah Empat, ia berfungsi sebagai sistem penilaian kecil yang memberi kita dua tahun untuk membuat penambahbaikan sebelum murid melangkah ke Tingkatan Satu.


“Dalam pendidikan, apa sahaja cadangan biasanya mengundang kontroversi, sama ada di Darjah Tiga, Empat atau Enam. Jadi, kita putuskan laksanakan di Darjah Empat sahaja.


"Pendidikan harus dinamik, harus ada penilaian yang berterusan dan peringkat awal, ini adalah cadangan. Saya harap masyarakat, ibu bapa beri rung kita cuba dengan sebaik mungkin," ujarnya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page