Kerajaan Perkukuh Kesalinghubungan Digital POIC Lahad Datu Melalui Pelan JENDELA
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

27 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkukuh infrastruktur komunikasi dan internet di Taman Perindustrian POIC Lahad Datu bagi memastikan kawasan perindustrian strategik itu mempunyai tahap kesalinghubungan yang berdaya saing di peringkat global.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Taman Perindustrian POIC Lahad Datu, sebuah menara komunikasi telah siap dibina di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Selain itu lima menara sedia ada turut menyediakan perkhidmatan 4G dan tiga struktur komunikasi yang menyediakan perkhidmatan 5G.
“Kawasan tersebut turut dilengkapi capaian gentian optik bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Madius yang juga Pengerusi POIC Lahad Datu berkata, perkara itu dimaklumkan oleh kementerian berkenaan dalam satu jawapan bertulis terhadap pertanyaannya dalam Sesi Soalan Lisan pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, baru-baru ini.
“Dalam soalan tersebut saya meminta Menteri Komunikasi menyatakan langkah-langkah Kerajaan Persekutuan memastikan kesalinghubungan (connectivity) komunikasi Taman Perindustrian POIC Lahad Datu kepada seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, kementerian tersebut dalam jawapan yang sama turut memberitahu setakat 30 November 2025, kadar liputan internet di kawasan berpenduduk di Sabah telah mencapai 96.81 peratus, meningkat berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Pelan JENDELA.
Bagi Parlimen Tuaran, kadar liputan turut meningkat kepada 97.86 peratus daripada 82.52 peratus sebelum ini.
“Di bawah pelaksanaan JENDELA di Parlimen Tuaran, sebanyak 27 daripada 33 menara komunikasi telah siap dibina dan beroperasi, selain 200 stesen pemancar dinaik taraf, 24,557 premis kini mempunyai capaian gentian optik serta 44 lokasi telah menikmati perkhidmatan internet 5G.
“Kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar melalui kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik berhampiran sekolah dan kawasan perindustrian terpilih, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Bagi negeri Sabah, sehingga 9 Januari 2026, sebanyak 67 PoP Fasa 1 dan 584 PoP Fasa 2 telah siap sepenuhnya, melibatkan 68,576 premis yang kini tersedia untuk melanggan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi. Khusus bagi Parlimen Lahad Datu, satu PoP Fasa 1 dan 17 PoP Fasa 2 telah siap, melibatkan 1,872 premis.”
Ujar kementerian itu lagi, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menjalankan audit kualiti secara berkala bagi memastikan pematuhan terhadap Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
Sepanjang tempoh 1 Januari 2025 hingga 7 Januari 2026, sebanyak 7,264 ujian kualiti telah dijalankan di seluruh negara, termasuk 1,223 lokasi di Sabah dan 48 lokasi di Parlimen Tuaran.
“Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan dan maklumat berkaitan masalah kualiti perkhidmatan melalui aplikasi MCMC NEXUS atau portal aduan rasmi MCMC bagi membolehkan tindakan penambahbaikan dilaksanakan dengan lebih berkesan,” tambah Kementerian Komunikasi lagi.


















Comments