Stesen janakuasa Rancha bakal perkukuh bekalan tenaga di Labuan
- nabalunews
- 52 minutes ago
- 2 min read

27 Januari 2026
LABUAN: Projek stesen janakuasa Rancha yang bakal dibina di sini dijangka dapat mengukuhkan lagi jaminan bekalan kuasa Labuan, menyelesaikan isu gangguan elektrik yang berlarutan dan meningkatkan daya tarikan pulau itu sebagai destinasi pelaburan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek janakuasa dengan kapasiti 120 megawatt itu mencerminkan komitmen teguh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan keterjaminan tenaga, kebolehpercayaan sistem dan kemampanan jangka panjang bagi wilayah strategik seperti Labuan.
"Projek ini bukan sekadar simbolik permulaan pembangunan janakuasa, tetapi juga manifestasi komitmen kerajaan untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil, cekap dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah projek Janakuasa Rancha di Zon Perindustrian Rancha-Rancha di sini, hari ini.
Rancha Power Sdn Bhd, yang meneraju projek janakuasa tersebut merupakan usaha sama strategik antara PG Energia Sdn Bhd, anak syarikat Petronas Gas Bhd, SEC Power Sdn Bhd, anak syarikat Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, dan Sustainable Power Sdn Bhd, anak syarikat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pembinaan tersebut dijadualkan bermula pada Februari tahun ini, dengan operasi komersial disasarkan bermula pada 1 Januari 2028.
Fadillah berkata, sebagai pusat kewangan antarabangsa dan hab perniagaan luar pesisir strategik, bekalan kuasa yang mencukupi dan cekap merupakan prasyarat penting bagi Labuan untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan daya saing ekonomi.
"Tanpa bekalan kuasa yang stabil dan terjamin, agenda ekonomi, sama ada dalam pembangunan kewangan, industri atau sosial, tidak dapat direalisasikan secara mampan. Projek ini akan memberi jaminan kepada pelabur dan membuka ruang untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Labuan," katanya.
Beliau berkata, sebaik sahaja siap, stesen janakuasa baharu itu akan memperkukuh kapasiti operasi SESB, yang kini berfungsi sebagai pengendali bekalan elektrik untuk Labuan.
Fadillah berkata, stesen janakuasa Rancha merupakan sebahagian daripada strategi peralihan tenaga kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR), yang berlandaskan tiga tonggak utama - keterjaminan bekalan, kelestarian alam sekitar dan kemampuan pengguna - sambil menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih seawal tahun 2050.
Beliau berkata, dalam usaha Malaysia menuju ke arah penyahkarbonan, sumber tenaga konvensional yang lebih bersih dan cekap seperti gas asli dan loji kecekapan tinggi terus memainkan peranan penting ketika penyepaduan tenaga boleh baharu diperluas secara berterusan.
Dalam hal ini, katanya, stesen Janakuasa Rancha harus dilihat sebagai infrastruktur peralihan kritikal yang memastikan kebolehpercayaan sistem di samping mengukuhkan lagi penyepaduan tenaga boleh baharu pada masa depan.
Menurutnya, usaha untuk mengukuhkan infrastruktur tenaga Labuan itu juga sejajar dengan agenda tenaga serantau Malaysia, termasuk inisiatif Grid Kuasa ASEAN, yang bertujuan meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan dan daya tahan tenaga serantau.
Dengan lokasi strategiknya, Labuan berpotensi memainkan peranan penting sebagai nod tenaga dan logistik dalam ekosistem tenaga serantau. Pengukuhan infrastruktur kuasanya menyokong objektif negara dan serantau," katanya.
Fadillah berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan terus memastikan semua projek tenaga dilaksanakan secara berstruktur dan berfasa, disokong oleh tadbir urus yang kukuh dan pematuhan penuh terhadap piawaian keselamatan, kawal selia dan alam sekitar.
Menurutnya, dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa Labuan dan kerjasama erat antara pemegang taruh, beliau yakin projek janakuasa itu akan menjadi pemangkin untuk memperkukuh sistem tenaga Labuan dan seterusnya memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi wilayah tersebut. - BERNAMA














