UMS Bantu Ringan Beban Murid Asnaf Luar Bandar di Pitas Hadapi Sesi Persekolahan 2026
- nabalunews
- 46 minutes ago
- 2 min read

27 Januari 2026
PITAS: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat terhadap usaha menyokong perkembangan pendidikan dalam kalangan murid sekolah di luar bandar menerusi Program Back To School 2026 yang dilaksanakan di Kampung Timbang Taun Pituru, Pitas baru-baru ini.
Program anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Staf Fakulti Sains dan Teknologi (KRiS-FST) UMS dengan kerjasama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) antara lain bertujuan meringankan beban keluarga asnaf serta menyokong keperluan persekolahan murid pada sesi persekolahan Baharu tahun ini.
Seramai 34 orang murid asnaf telah menerima sumbangan berbentuk wang tunai, pakaian sekolah dan beg sekolah pada program tersebut.

Penasihat KRiS-FST merangkap Dekan FST, Prof. Dr. Rodeano Roslee berkata, penganjuran program itu mencerminkan komitmen UMS sebagai rakan strategik komuniti dalam menyokong pembangunan sosial dan pendidikan luar bandar.
“UMS bukan sahaja berperanan sebagai pusat ilmu, malah turut memikul tanggungjawab sosial untuk bersama-sama membantu komuniti.
“Kami berharap sumbangan ini dapat menyuntik semangat kepada murid-murid untuk terus hadir ke sekolah dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Yazid Kiffli selaku wakil PBNS memaklumkan kerjasama antara PBNS dan UMS merupakan salah satu usaha berterusan bagi memastikan bantuan kebajikan dapat disampaikan kepada seluruh golongan yang memerlukan secara tersusun dan berkesan.
“PBNS berperanan mengurus dan mengumpul kumpulan wang amanah daripada masyarakat Islam di Sabah bagi membantu meningkatkan keadaan ekonomi golongan yang kurang berkemampuan.
“Bantuan pendidikan ini merupakan pelaburan jangka panjang untuk masa depan anak-anak asnaf,” katanya.
Kemuncak program tersebut menyaksikan penyerahan sumbangan pakaian yang disempurnakan Dr. Rodeano kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mair Mari.
Turut diadakan penyerahan tawas oleh wakil PBNS kepada pengelola tiga loji mini rawatan air yang dibangunkan hasil kerjasama UMS–PBNS di Kg. Timbang Taun, Kg. Mengkapon dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bongkol.














