Tagal komuniti Kg Sosogoh menerima bantuan
- nabalunews
- Aug 20, 2024
- 2 min read

19 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
NABAWAN: Projek Tagal Komuniti Kampung Sosogoh, di Pagalungan di sini telah disenaraikan bagi menerima suntikan pengukuhan di bawah Program Rintis Pengukuhan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan jumlah bantuan peruntukan sebanyak RM30,000.
Peruntukan itu digunakan bagi pembelian lima unit solar, 20 beg makanan ikan, 100 unit kerusi plastik dan empat unit tong sampah serta bahan binaan tandas awam.
Ketika merasmikan program PINTAR Projek Tagal Komuniti Kampung Sosogoh, Pagalungan, Sabtu lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, melalui konsep PINTAR, pelaksanaan dan pembudayaan inovasi dalam semua aspek rantaian nilai sektor agro makanan akan diberikan penekanan yang komprehensif.
Ia bagi memperkukuh rantaian makanan domestik ke arah penghasilan bahan makanan yang produktif dan mampan.
Katanya, sistem tagal yang juga program konservasi sumber perikanan melalui penglibatan komuniti ini bukan sahaja dapat memelihara dan menjaga ekosistem sungai, malah ia menjadi sumber makanan untuk penduduk setempat selain bakal menjadi tarikan eko pelancongan.
"Peluang pekerjaan juga dapat diwujudkan di kalangan masyarakat setempat untuk menjalankan perniagaan gerai di kawasan tagal" katanya.
Jelasnya, Tagal Kampung Sosogoh mempunyai potensi tinggi menjadi daya tarikan kepada pelancong kerana ia merupakan satu-satunya tagal yang berjaya menjinakkan ikan di Pensiangan.
Selain itu katanya, kedudukan kawasannya yang strategik bersebelahan dengan pembinaan jalan raya yang bakal siap, persekitaran yang kaya dengan keindahan flora dan fauna serta sesuai bagi aktiviti perkhemahan dan mendaki juga dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi tagal ini.
Pada majlis ini, pelepasan 2,850 ekor benih ikan lampam sungai bersaiz 4 inci bernilai RM10,000.00 sumbangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dibuat.
Ia bertujuan memulihara spesies ikan untuk konservasi, meningkatkan populasi dan memulihara kepelbagaian biodiversiti.
Jabatan Perikanan Sabah juga menyampaikan sumbangan kepada 12 Jawatankuasa Tagal sedia ada iaitu bantuan berupa solar, tong ais, pukat, rambat, tikar kanvas dan papan tanda.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah DOF
Dato’ Haji Adnan Hussain, Pengarah Perikanan Sabah Azhar Kassim, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Hasinin Kinsim dan Pengerusi Tagal Kampung Sosogoh Akat Ampaul.















Comments