top of page
  • nabalunews

Taman perindustrian baharu dicadang di Kudat

25 Ogos 2024


KUDAT: Sebuah taman perindustrian baharu dicadang diwujudkan di daerah ini bagi membuka potensi dan peluang untuk mengembangkan pertumbuhan ekonomi di kawasan utara Sabah.


Ketua Menteri Sabah , Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata pembukaan taman perindustrian juga disasar sebagai satu usaha ke arah membawa pembangunan di daerah Kudat.


Menurut laporan Info X, Hajiji berkata pewujudan taman perindustrian di Kudat sesuai kerana daerah ini mempunyai pelbagai kemudahan sedia ada termasuk laut yang dalam dan pelabuhan.


Jelasnya, lokasi daerah ini juga sangat strategik kerana dekat dengan beberapa negara seperti China, Korea dan Jepun.


“Justeru, amat penting untuk kita membawa pembangunan di daerah ini dengan pembinaan taman perindustrian yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk dan daerah ini.


“Seluas kira-kira 5,000 ekar kawasan diperlukan dan kita sudah mengenal pasti kawasan terbabit. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat, Ahli Parlimen dan rakyat yang mungkin terlibat tanahnya.


“Konsep kita bukan ambil tanah tetapi kita libatkan rakyat yang ada tanah di kawasan yang dikenal pasti.


“Bagaimanapun, kita akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri serta Ahli Parlimen di daerah ini,” katanya katanya pada pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024, di Dataran Tomborungus, di sini, semalam.


Hadir sama Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.


Hajiji berkata, cadangan itu perlu diteliti secara terperinci terlebih dahulu menerusi perbincangan dengan semua pihak yang terbabit.


Mengenai majlis itu, beliau berkata Program Bakti Madani Kudat 2024 adalah satu pendekatan yang sangat relevan bagi meluaskan lagi kefahaman konsep Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.

Comments


bottom of page