Taman Tamu Lompios Mukim Losou, Kota Belud meriah dengan penganjuran pelbagai aktiviti menjelang Krismas

22 Disember 2024
KOTA BELUD : Taman Tamu Kampung Lompios, Kota Belud telah menganjurkan program yang sarat dengan pengisian aktiviti pembangunan usahawan dan komuniti setempat serta aktiviti sukan dan aktiviti untuk kanak-kanak.
Program yang diadakan pada Sabtu ini bertujuan mengeratkan hubungan antara komuniti dan penduduk kampung menjelang musim perayaan dan ketika cuti sekolah.
Acara utama di sesi ini adalah program pendataan untuk peniaga di Taman Tamu Kampung Lompios yang bertujuan untuk mengumpul data dan maklumat mengenai peniaga tempatan, serta memberi pencerahan mengenai keperluan permohonan lesen niaga dan taklimat mengenai kepentingan mencarum dalam
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Penceramah dari DataAPKK turut memberi penerangan mengenai perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh peniaga untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka.
Antara acara yang amat dinanti-nantikan adalah perlawanan sepak takraw tertutup yang melibatkan penyertaan penduduk kampung.
Acara ini bukan sahaja merapatkan hubungan antara penduduk, tetapi juga memberikan ruang kepada golongan muda untuk menunjukkan bakat mereka dalam sukan ini.
Golongan kanak-kanak tidak dilupakan menerusi penganjuran aktiviti pertandingan mewarna untuk kanak-kanak yang bertujuan untuk merangsang kreativiti dan minat seni di kalangan mereka.
Hadiah-hadiah untuk pemenang disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Selain itu, turut diadakan aktiviti gotong royong untuk membersihkan kawasan Taman Tamu yang dijalankan bersama ahli koperasi Taman Tamu Lompios.
Sebagai tambahan, kerja-kerja pembinaan kolam mandi juga dilakukan oleh ahli koperasi bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk kampung.
Dianggarkan 200 orang telah hadir untuk memeriahkan acara ini yang menunjukkan sambutan yang amat baik di kalangan penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lompios, Zubaidah Mandai telah menyampaikan hadiah kepada pemenang acara sepak takraw dan pertandingan mewarna kanak-kanak.
Comments