Tambahan kerusi Parlimen Sabah, Sarawk wajar dilaksana sebelum PRU – Salleh
- nabalunews
- Feb 7
- 1 min read

7 Februari 2026
KOTA KINABALU: Penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak wajar diberi pertimbangan serius untuk dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.
Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, prinsip perwakilan satu pertiga seperti yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bertujuan memastikan suara kedua-dua wilayah tersebut sentiasa diambil kira dalam proses pembuatan keputusan di peringkat nasional.
“Prinsip ini bukan tuntutan kelebihan politik, tetapi satu mekanisme semak dan imbang untuk melindungi kepentingan, hak dan keunikan Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan.
“Sehubungan itu, langkah melaksanakan penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak wajar diberi pertimbangan serius untuk disempurnakan sebelum PRU akan datang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah menambah penambahan kerusi itu selaras dengan semangat MA63 yang sejak awal mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas, bukan sekadar negeri biasa dalam Persekutuan.
Justeru, katanya, kedudukan tersebut perlu diterjemahkan secara bermakna dalam struktur perwakilan di Parlimen Malaysia, khususnya apabila melibatkan keputusan-keputusan besar negara.
“Isu ini bukanlah soal wilayah melawan wilayah, sebaliknya berkaitan usaha menunaikan janji dan memelihara semangat pembentukan Malaysia demi keadilan struktur dan perpaduan Persekutuan,” ujarnya.















Comments