FOOD BANK TAMPARULI: NIAT KAMI IKHLAS BANTU ORANG SUSAH FOOD BANK TAMPARULI: NIAT KAMI IKHLAS BANTU ORANG SUSAH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

FOOD BANK TAMPARULI: NIAT KAMI IKHLAS BANTU ORANG SUSAH

Sukarelawan Tamparuli Food Bank mengagihkan sumbangan kepada penduduk kampung. -Gambar Nabalu News

14 Nov 2020

Oleh Wartawan Nabalu News

TAMPARULI: Menyahut seruan membantu mereka yang terkesan pandemik Covid-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sembilan belia dari Tuaran dan Tamparuli mengambil inisiaitf sendiri untuk mewujudkan Food Bank atau tabung makanan.

“Kami mewujudkan Food Bank bukan untuk tujuan mencari nama, jauh sekali mencari keuntungan diri sendiri, tetapi niat kami ikhlas membantu orang susah,” kata Ketua Kumpulan Food Bank Tamparuli, Ronalisa Radam, ketika ditemui Nabalu News, baru-baru ini.

Ronalisa mengagihkan sumbangan kepada orang ramai. - Gambar Nabalu News

Beliau berkata, Tabung Makanan Tamparuli diwujudkan untuk membantu penduduk kampung yang benar-benar memerlukan bantuan terutama mereka yang kehilangan sumber pendapatan semasa PKPB.

“Hasil perbincangan bersama kawan-kawan, kami sepakat dan sebulat suara menjadikan Kedai Bundle Truly Thrift di Pekan Tamparuli sebagai pusat mengagihkan sumbangan,” katanya.

Food Bank Tamparuli beroperasi dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang.


Ronalisa berkata, antara sumbangan yang mereka sampaikan ialah keperluan asas seperti beras, gula, tepung, telur, kopi dan mee kuning.

“Bila kami mulakan Food Bank, ramai yang tidak faham apa itu Food Bank. Sebenarnya sumbangan yang kami kumpul ini bukan dari mana-mana syarikat korporat atau badan-badan bukan kerajaan tetapi ini adalah hasil sumbangan orang perseorangan yang ikhlas membantu orang susah.

“Kami faham, ada yang diberhentikan kerja dan para petani pula tidak dapat menjual hasil pertanian mereka dan hilang sumber pendapatan, sebab itu kami mewujudkan Food Bank dengan harapan dapat membantu meringankan sedikit bebanan mereka.

Antara sumbangan yang diagih-agihkan kepada para penerima.

“Bagi orang kampung yang tidak ada kenderaan untuk datang ke sini, kami tulis nama mereka dan akan usahakan untuk menghantar sumbangan itu ke kampung mereka,” katanya.

Ronalisa berkata, sepanjang pengagihan sumbangan makanan, mereka akan pastikan semua penerima mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu memakai pelitup muka dan sentiasa jaga jarak.

Sukarelawan Food Bank Tamparuli sibuk melayan orang ramai yang hadir. - Gambar Nabalu News

“Ramai yang memberi sokongan kepada Food Bank Tamparuli, bukan sahaja dari orang Tamparuli sendiri tetapi, ada dari Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan daerah-daerah lain.

“Dalam team kami ada sembilan orang, kami bukan persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO), kami menjalankan inisiatif ini secara persendirian dan tidak mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan atau badan-badan NGO yang lain. Kami menerima sumbangan untuk diagih-agihkan kepada orang susah daripada orang-orang dermawan,” katanya.


Ronalisa berkata, Food Bank tidak akan berjaya tanpa sokongan ahli-ahli sukarelawan lain iaitu Natalia Robert, Raemma Justim, Vivien Jane Julim, Elaine Voo Mei Mei, Cellin, Wilson Gatin, Melvin Bedion dan John Situ.

Sekiranya anda ingin menghulurkan sumbangan derma boleh berkunjung ke Bundle Truly Thrift Tamparuli atau pertanyaan lanjut hubungi Vivien (016-8030236), Rona (016-3839910) atau Raemma (016-2907944).

bottom of page