Tamparuli laksana pemilihan JKKK, perkasa demokrasi akar umbi
- nabalunews
- 57 minutes ago
- 2 min read

8 Februari 2026
TAMPARULI: Proses penamaan calon bagi pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli menandakan langkah penting dalam memperkasa amalan demokrasi di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pemilihan itu merupakan sebahagian daripada manifesto beliau pada pilihan raya lalu bagi memberi peluang kepada penduduk kampung menentukan kepimpinan komuniti mereka secara langsung.
Menurutnya, pelaksanaan pemilihan JKKK secara undian diadakan serentak pada Jumaat (6 Februari) di 94 kampung berdaftar di DUN Tamparuli, menjadikan kawasan itu sebagai DUN pertama di Sabah yang melaksanakan pemilihan JKKK secara demokrasi.
“Kita mahu demokrasi diamalkan sehingga ke akar umbi dan inisiatif ini membuktikan komitmen kita untuk memastikan suara rakyat di peringkat kampung dihormati melalui proses yang telus, adil dan berintegriti.
“Keseluruhan proses pemilihan dikendalikan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli selaku urusetia rasmi yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dengan kerjasama pejabat UPPM Tamparuli bagi memastikan pelaksanaannya tersusun,” katanya.
Berdasarkan tinjauan, proses penamaan calon yang bermula seawal 9 pagi di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kecil Tamparuli berjalan lancar dengan sebanyak 402 borang pencalonan bagi jawatan pengerusi dan setiausaha JKKK diterima.
Daripada jumlah itu, 25 kampung mencatatkan calon menang tanpa bertanding, manakala dua kampung tidak mempunyai sebarang calon yang hadir mendaftarkan diri.
Sebanyak 67 kampung pula akan menyaksikan pertandingan apabila masing-masing mempunyai lebih daripada satu pencalonan bagi jawatan pengerusi dan setiausaha JKKK.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran memaklumkan, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli bertanggungjawab mengurus, menyelaras dan memantau keseluruhan proses pemilihan termasuk penamaan calon, tempoh kempen, pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan.
“Saya menyeru semua penduduk kampung supaya mengambil bahagian dalam proses ini bagi memastikan kepimpinan JKKK yang dipilih benar-benar mewakili kehendak rakyat serta mampu berfungsi berkesan,” ujarnya.
Untuk rekod, tempoh kempen bermula 6 hingga 14 Februari, manakala hari pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan dijadualkan berlangsung pada 15 Februari 2026 dari 1 hingga 4 petang.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W Harry dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Jeffry Teo.














