Tamu Besar KB Erat Perpaduan Masyarakat

18 Oktober 2026
KOTA BELUD: Semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang terus dipelihara menerusi Tamu Besar Kota Belud.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Tamu Besar Kota Belud bukan sekadar tempat berjual beli atau bertukar barangan, malah menjadi medan pertemuan sosial masyarakat pelbagai kaum dan agama.
"Melalui semangat perpaduan yang utuh di tamu ini, kita membuktikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Sabah adalah kekuatan terbesar kita untuk terus melangkah maju bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Tradisi ini mesti terus dipelihara dan pada masa sama disesuaikan dengan tuntutan semasa supaya kekal relevan kepada generasi akan datang.
"Tamu Besar Kota Belud yang berusia 148 tahun juga merupakan antara acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan Sabah, dengan keunikan budaya, makanan tempatan, kraftangan dan kehidupan masyarakat setempat menjadi tarikan kepada pengunjung.
"Dengan pendekatan ini, manfaat sektor pelancongan tidak hanya tertumpu kepada industri dan pengusaha besar, tetapi turut sampai kepada pengusaha inap desa, petani, penternak, peniaga kecil, pengusaha makanan, penggiat kraftangan dan masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Tamu Besar Kota Belud Tahun 2026 di Tapak Tamu Minggu Kota Belud, di sini, pada Sabtu.
Hajiji berkata, Kota Belud turut menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan merangkumi pengembaraan, rekreasi, budaya dan alam semula jadi, termasuk tarikan pulau dan sungai.
"Kota Belud adalah antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan, termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya dan alam semula jadi yang menarik untuk diterokai termasuk di pulau dan sungai.
"Malah, daerah Kota Belud telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023. Ini menunjukkan potensi besar daerah ini dan seterusnya Sabah sebagai destinasi pelancongan," ujarnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Kota Belud, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Pelan Pembangunan SMJ 2.0.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman yang turut hadir bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan dan Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton./Penerangan-















Comments