Tamu Besar Kota Belud dipromosi ke seluruh dunia sebagai produk pelancongan
2 November 2024
KOTA BELUD: Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata Tamu Besar Kota Belud berpotensi dipromosi ke seluruh dunia sebagai satu daripada produk pelancongan dan kebudayaan utama di Negeri di Bawah Bayu.
Beliau berkata penganjuran Tamu Besar Kota Belud adalah sejajar dengan usaha memajukan sektor pelancongan setempat menerusi kekayaan warisan budaya dan masyarakatnya.
"Di sini pengunjung akan dapat membeli hasil produk kraf tangan tempatan yang unik dan berbeza daripada hasil kraf dari daerah lain di Sabah, selain pelancong berpeluang menikmati keunikan budaya seterusnya melestarikan seni, budaya dan warisan kita.
"Buat pertama kalinya Tamu Besar Kota Belud dianjurkan sebagai signature event supaya kementerian saya dapat mempromosikan acara hebat ini ke seluruh dunia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Tamu Besar Kota Belud selama tiga hari bakal berakhir esok.
Tamu berusia lebih 100 tahun ini bukan sahaja menjadi medan penduduk tempatan berniaga pelbagai produk tempatan seperti makanan, kraf tangan dan pakaian, tetapi juga kini menjadi antara produk pelancongan utama di Sabah.
Hajiji berkata kerajaan negeri komited untuk memperhebat pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, khususnya memperluas rangkaian promosi pelancongan dan mengembangkan jaringan laluan udara ke negeri ini.
Comments