Tamu Desa Kg.Piasau dinaiktaraf dengan peruntukan RM250,000 - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tamu Desa Kg.Piasau dinaiktaraf dengan peruntukan RM250,000 - Ewon

17 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk menaiktaraf Tamu Mingguan Komuniti Kg.Piasau kepada Tamu Desa.


Beliau berkata, ia adalah satu daripada 38 tamu desa di Sabah yang telah dikenalpasti untuk dinaiktaraf pada tahun ini.


“Keperluan menaiktaraf tamu komuniti di kampung ini juga antara yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Kadamaian.


“Sebab itu saya menjadikan asas itu untuk memperkenalkan inisiatif baharu di kementerian iaitu Projek Tamu Desa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program Memasyarakatkan Belia dan Beliawanis Berkoperasi sempena sambutan Kaamatan Madani, di Dewan Masyarakat Kg.Piasau, di sini, hari ini.


Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg.Piasau, Jolyhame Saran merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya KUSKOP dan Ewon atas inisiatif membantu menyediakan keperluan para penjaja dan peniaga kecil di luar bandar.


“Saya berharap dengan penaiktarafan Tamu Desa ini akan memberikan keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung di Tamu Mingguan Kg.Piasau.


“Selain itu, saya berharap ini akan membantu merancakkan lagi ekonomi penduduk kampung seterusnya menjadi tarikan baru pelancong di kampung kami,” katanya.


Jolyhame turut berbangga kerana Ewon menjadikan Pelan Pembangunan Kadamaian sebagai inspirasi untuk mewujudkan inisiatif baharu membantu menaiktaraf atau membina kemudahan Tamu Desa di kawasan luar bandar.


Mengenai program itu, Ewon menggesa belia di Sabah khususnya di Kadamaian supaya menubuhkan koperasi dan merebut peluang perniagaan melalui e-dagang.


Beliau berkata, setakat ini hanya 14 buah koperasi belia berdaftar di Sabah dengan jumlah perolehan sebanyak RM25,031.


“Oleh itu, saya menegaskan agar lebih banyak koperasi belia didaftarkan tahun ini untuk memberikan kesan positif dan menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.


Ewon berkata, kementeriannya melalui SKM akan terus memainkan peranan turun padang mendekati masyarakat bagi menyampaikan pelbagai maklumat terkini mengenai peluang-peluang perniagaan yang boleh diceburi oleh koperasi dan insentif kerajaan.


“Ini termasuklah Geran Bantuan Pembangunan Koperasi sehingga RM300,000 dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMPSKM) sehingga RM30 juta oleh SKM.


“Selain itu, peranan ANGKASA bagi membantu membimbing koperasi dalam Projek Pembangunan Perniagaan juga harus terus dipergiatkan,” katanya.


Pada program itu, SKM turut mengadakan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) atau Jualan Madani Koperasi (JMK) bagi membantu golongan masyarakat B40 menikmati harga barangan 20% lebih murah berbanding harga pasaran.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page