Tan Sri Mohd Annuar Zaini dilantik Pengerusi Baharu UDA
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tan Sri Mohd Annuar Zaini dilantik Pengerusi Baharu UDA

23 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Annuar Zaini sebagai Pengerusi UDA berkuatkuasa 23 Mac (hari ini) menggantikan Datuk Norliza Abdul Rahim.


Mohd Annuar yang memiliki Ijazah Sarjana Perundangan dan Diplomasi dari Tufts University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1977.


Beliau berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan serta Kerajaan Negeri Perak sebelum memilih bersara secara pilihan daripada jawatan kerajaan pada 1999 untuk menceburkan diri dalam sektor swasta.


Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia (2021), Pengerusi MRCB Land Sdn Bhd (2022) dan Pengerusi Metropolitan Utilities Sdn Bhd (sejak 1993).


Beliau juga pernah diberikan tanggungjawab sebagai Penasihat dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (2007-2009), Pengerusi BERNAMA (Februari 2004 - Januari 2010), Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad (2001-2004), Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airline System Berhad (2005-2011), PLUS Expressways Berhad (2007-2012), Tropicana Corporation Berhad (2010-2015), Ahli Lembaga Pengarah (Bebas dan Bukan Eksekutif) Manulife Holdings Berhad, Manulife Insurance Berhad dan Manulife Investment Management (M) Berhad (2011-2020).


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yakin pelantikan Tan Sri Mohd Annuar dapat membawa UDA bersama-sama kementerian memperkasa golongan usahawan menerusi segmen perniagaan seterusnya menyokong hasrat kerajaan ke arah pembangunan Malaysia Madani.


“Tahniah, selamat berkhidmat dan selamat bekerjasama buat Tan Sri di kementerian ini,” katanya selepas menyampaikan watikah perlantikan kepada Tan Sri Mohd Annuar, di sini, hari ini.


Sementara itu Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr Mohd. Salem Kailany turut mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Mohd Annuar.


“Bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan, serta seluruh warga kerja UDA, kami mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar dalam menerajui kepimpinan syarikat.


“Semoga kepimpinan beliau menjadi aspirasi seterusnya memacu kecemerlangan dan kelestarian UDA di masa hadapan,” katanya.


UDA Holdings Berhad (UDA) yang dulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar (Urban Development Authority) ditubuhkan pada 1971, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kuskop.

bottom of page