Tanah Runtuh Kilometer 3.5 Jalan Kiau, Penduduk Dinasihat Guna Laluan Alternatif Lobong-Lobong
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

19 Februari 2026
KOTA BELUD: Satu kejadian tanah runtuh telah berlaku awal pagi tadi di Kilometer 3.5 Jalan Kiau, melibatkan kawasan tebing yang tidak konsisten dan sering mengalami kejadian serupa.
Pemaju Mukim, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, William Ginting dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kejadian tersebut memberi kesan kepada laluan utama penduduk tiga kampung sekitar.
"Buat masa ini, laluan daripada Kampung Kiau Taburi menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau 1 masih belum dapat dilalui berikutan keadaan tebing yang tidak stabil dan sering mengalami tanah runtuh," jelasnya.
Menurut William, beliau telah menghubungi pihak kontraktor daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut bagi membersihkan laluan tersebut.
"Laluan ini merupakan jalan utama komuniti tiga kampung di kawasan Kadamaian Ulu iaitu Kampung Kiau Taburi, Kampung Kiau Nuluh dan Kampung Kiau Bersatu. Tindakan awal perlu dilakukan segera bagi memudahkan pergerakan penduduk," tambahnya.
Orang ramai khususnya pengguna jalan di kawasan terlibat diminta sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa sementara menunggu kerja-kerja pembersihan dan penstabilan tebing dijalankan.
Walau bagaimanapun, menurut William, penduduk daripada Kampung Kiau Nuluh dan Kiau Bersatu boleh menggunakan laluan jalan pintas Kiau Bersatu - Kampung Lobong-Lobong jika berlaku kecemasan ataupun ingin keluar dari kawasan berkenaan.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.


















Comments